Home » Hajiji jalani prosedur buang batu karang minggu depan
Berita Tempatan Politik

Hajiji jalani prosedur buang batu karang minggu depan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (dua kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini menjawab spekulasi berhubung keadaan kesihatannya berikutan khabar angin sebelum ini yang mengatakan beliau sakit.


Dalam satu kenyataan sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah, hari ini, Jabatan Ketua Menteri Sabah menjelaskan keadaan kesihatan Hajiji pada tahap yang baik.


Beliau bagaimanapun dilaporkan perlu dimasukkan ke hospital pada minggu depan bagi menjalani prosedur kecil untuk mengeluarkan batu karang.


“Beberapa hari lalu timbul spekulasi mengenai kesihatan Ketua Menteri dan beliau berterima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kesihatannya.


“Ketua Menteri ada merasai kesakitan tetapi keadaan kesihatannya baik dan beliau dijadualkan dimasukkan ke hospital untuk pembedahan kecil bagi mengeluarkan batu karang pada minggu depan,” kata kenyataan itu.


Hajiji hadir pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.


Hadir sama pada majlis itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet kerajaan negeri.


Kira-kira 20,000 pengunjung pelbagai kaum dari sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran menghadiri rumah terbuka itu yang bermula sejak jam 10 pagi tadi hingga jam 2 petang.


Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada lebih 70 orang golongan kurang bernasib baik termasuk warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim.


Hajiji turut mengiringi Anwar bertemu pengunjung yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri berkenaan.


Anwar dan Hajiji meninggalkan majlis pada kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas keberangkatan pulang Juhar dan isteri.

— Izwan Abdullah