DATUK Seri Salahuddin Ayub. FOTO Asyraf Hamzah.
Putrajaya: Amanah memohon maaf kepada Umno di atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan seorang pemimpinnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berharap isu terbabit dapat diselesaikan dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden Umno serta timbalannya.
“Sempena Aidilfitri ini, saya bagi pihak AMANAH memohon maaf di atas kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan Pengarah Komunikasi (Khalid Samad), sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan Umno, maka kami minta maaf.
“Sebarang ketelanjuran itu, biasalah bagi orang politik, kadang-kadang kita terlanjur dan tidak ada malu untuk kita memohon maaf sekiranya ia melukakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini, hari ini.
Umno Kelantan sebelum ini memberi kata dua kepada Khalid, sama ada memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.
Kata dua itu disampaikan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman, susulan kenyataan dibuat Khalid berhubung isu pengampunan terhadap Najib.
Ia selepas Khalid melalui kenyataan dikeluarkan kelmarin, merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, apa yang penting ketika ini adalah memperkukuhkan kerajaan serta menyelesaikan isu rakyat selain bakal berdepan enam pilihan raya negeri (PRN).
Tegasnya, Amanah beriltizam memperkukuhkan jentera, ukhuwah dan kekuatan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ditanya mengenai pendirian Amanah berhubung pengampunan Najib, Salahuddin berkata, setiap individu yang dikenakan hukuman, berhak meminta pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Ia jelas bagi saya hak asasi kepada seseorang yang dikenakan hukuman oleh mahkamah, itu hak kita untuk meminta pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, jadi kita pulangkan kepada Perlembagaan dan peraturan negara,” katanya.
Ditanya pula sama ada Khalid akan berdepan tindakan disiplin susulan kenyataan yang dikeluarkannya itu, beliau berkata, permohonan maaf yang dinyatakannya itu sudah memadai.
— hmetro
Add Comment