TAWAU: Kolej Tingkatan Enam (KT6) perlu diwujudkan lebih banyak lagi untuk memenuhi permintaan pelajar yang semakin bertambah di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil perhatian mengenai keperluan tersebut.
Katanya, pendidikan tingkatan enam semakin popular dalam kalangan pelajar sebelum mereka melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Semakin ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih memilih masuk ke tingkatan enam kerana ia lebih mudah untuk memasuki universiti.
“Justeru, saya berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak KT6 kerana ketika ini ia sangat terhad terutamanya di Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam majlis Apresiasi 6.0 Kolej Tingkatan Enam Tawau, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Koleh Tingkatan Enam Tawau, Matnoor Sima.
Mengulas mengenai pendidikan negara, katanya, peranannya telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya.
Katanya, pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik, progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
“Kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi serta agenda negara,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata pencapaian yang dilakar oleh Kolej Tingkatan Enam Tawau (KT6T) perlu menjadi contoh kepada sekolah yang lain.
Katanya, KT6T telah menunjukkan pencapaian yang terbaik dari segi akademik dan kokurikum sejak ia diwujudkan pada tahun 2017 lagi.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pentadbir, guru-guru dan kakitangan KT6T yang berjaya melahirkan modal insan cemerlang setiap tahun.
“Saya yakin KT6T boleh menjadi pusat pembelajaran yang disegani dan terbaik di Malaysia sekiranya prestasi pusat ini terus meningkat setiap tahun,” katanya.
–Hamzah Sanudin
Add Comment