Home » Loji rawatan air Telibong 2 siap bulan depan – Shahelmey
Berita Tempatan Politik

Loji rawatan air Telibong 2 siap bulan depan – Shahelmey

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya merasmikan Ekspo Pembinaan dan Jentera Sabah (SCME) 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, Jumaat.

Kota Kinabalu: Loji rawatan air Telibong 2 dijangka siap bulan depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya.


Shahelemy yang juga Menteri Kerja Raya berkata Jabatan Air masih dalam perbincangan dan penyelarasan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja-kerja pemasangan paip.


“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya kerja-kerja pemasangan paip dapat disiapkan supaya kita dapat membekalkan air dari loji yang baru siap,” katanya selepas merasmikan Ekspo Pembinaan dan Jentera Sabah (SCME) 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, Jumaat.


Dilaporkan bahawa loji rawatan air Telibong 2 sepatutnya mula beroperasi tahun lepas.

Loji itu merupakan penyelesaian jangka pendek hingga sederhana kepada isu kekurangan air di sini.


Dilaporkan juga loji rawatan air itu akan menambah bekalan air sedia ada di sini sebanyak 20 peratus dan mengurangkan kekurangan air di bahagian utara Bandaraya.


Mengenai empangan Papar, Shahelmey berkata kementerian masih menunggu kajian kebolehlaksanaannya selesai.


“Ia sepatutnya siap bulan depan tetapi saya diberitahu ada lanjutan masa diminta.


“Semoga Kementerian akan dapat hasilnya pada penghujung tahun ini supaya kita boleh menasihati Kabinet Negeri mengenai hala tuju pembinaan empangan itu.”


Sementara itu, beliau berharap pemain industri pembinaan tempatan akan mendapat manfaat daripada SCME 2023 selama tiga hari, bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat, tetapi juga untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perubahan teknologi industri.


“Saya menggalakkan kontraktor tempatan untuk mengikuti perubahan teknologi semasa kerana ini akan membantu meningkatkan kecekapan mereka dan mempercepatkan tempoh pembinaan,” katanya.


Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, bagi meningkatkan pemulihan ekonomi dan menyemai keyakinan pelabur asing untuk meningkatkan Pelaburan Asing Langsung (DRI) di Malaysia, kerajaan akan melancarkan lebih banyak projek pembinaan baharu untuk pembangunan dan manfaat negara.


 “Industri bangunan berada di tengah-tengah revolusi besar.


“Dalam era globalisasi dan transformasi digital, Kerajaan sedang mempercepatkan penggunaan Industri Pembinaan 4.0.


“Saya amat berbesar hati kerana Persatuan Pembina Sabah bergerak seiring dengan dasar kerajaan dengan menganjurkan SCME,” katanya.


Ekspo ini berlangsung dari Jumaat hingga Ahad.

— Ricardo Unto