Home » Tiga institusi terima sumbangan sempena rumah terbuka Nizam
Berita Tempatan Politik

Tiga institusi terima sumbangan sempena rumah terbuka Nizam

SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) cawangan Sabah untuk Madarasah Al Fatih , Kg Hidayat, Apas Batu 4, Tawau.

TAWAU: Sebanyak tiga institusi masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000 sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di sini hari ini.


Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, sumbangan itu adalah tradisi setiap tahun yang dilakukan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.


Katanya, tahun ini kita memilih Madrasah Ad-Diniyyah Al-Furqaniyah Tawau, Masjid Al-Ansar Taman Sawit, Balung dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sabah untuk menerima sumbangan tersebut.


“Selain itu, sebanyak 30 orang asnaf terdiri ibu tunggal, warga tua dan golongan miskin turut menerima sumbangan pada hari ini.


“Saya berharap sumbangan tersebut dapat membantu operasi institusi terpilih dan menceriakan golongan asnaf pada hari raya tahun ini,” katanya ketika ditemui dalam sambutan majlis tersebut, hari ini.


Menurutnya, sambutan kali ini cukup meriah kerana bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat di perbandaran Tawau, tetapi turut dikunjungi tetamu daripada luar daerah termasuk Kota Kinabalu.


“Saya melihat kehadiran pelbagai kaum dan agama dalam majlis ini menunjukkan rakyat sentiasa memelihara perpaduan serta keharmonian di negeri ini.


“Sememangnya majlis rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah salah satu keunikan dalam mengekalkan perpaduan hidup berbilang kaum dan agama,” katanya.


Dalam pada itu, Nizam berkata, semua rakyat diminta supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan negara ini.


“Kita perlu menyokong dasar-dasar kerajaan sama ada di peringkat pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun peringkat negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


“Semua rakyat harus berganding bahu dengan kerajaan dalam memelihara keamanan yang dikecapi supaya ia berkekalan selamanya,” katanya.  


Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Ariffin Arif; Ahli Parlimen Tawau, Lo Sui Fui; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan, Rina Jainal dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah.

— Hamzah Sanudin