Home » Hajiji dan GRS kukuh menjelang 2025, sulit atasi kelebihan strategik GRS, kata penganalisis
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Hajiji dan GRS kukuh menjelang 2025, sulit atasi kelebihan strategik GRS, kata penganalisis

Menurut Kanul, Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah stabil kerana kedua-duanya mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dijangka semakin berjaya mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di Sabah, menjelang pilihanraya umum negeri yang bakal diadakan selewat-lewatnya tahun 2025 ini.

Penganalisis politik tempatan, Kanul Gindol, berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusi oleh Hajiji dan dianggotai tujuh parti tempatan itu juga dijangka bertanding di lebih dua pertiga daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN nanti, meyakinkan rakyat bahawa GRS merupakan pilihan popular untuk mengekalkan kuasa parti tempatan di Sabah.

Kanul yang juga seorang aktivis Sabah yang dikenali ramai, berkata, kelebihan Hajiji ialah beliau seorang Ketua Menteri semasa dan GRS sedang meraih serta mengumpul sokongan hasil nasionalisme “parti lokal berkuasa” yang bertiup di Sabah dan juga Sarawak.

“Tiada gabungan parti lokal lain di Sabah yang dapat menandingi kedudukan strategik GRS itu,” ,” katanya ketika ditemui Borneo Gazzete baru-baru ini.

Beliau diajukan empat persoalan berhubung kait kestabilan kerajaan negeri dan pusat dengan kemungkinan GRS menghadapi cabaran dari Umno dan Warisan pada pilihanraya negeri.

Menurut Kanul, Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah stabil kerana kedua-duanya mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri. 

“Adalah tidak tepat mengatakan Kerajaan Perpaduan di Pusat stabil tapi di Sabah tidak stabil. Yang tidak stabil di Sabah ialah Warisan sebab di peringkat Persekutuan ia menyokong Kerajaan Perpaduan tapi di peringkat Negeri ia menjadi pembangkang Kerajaan Perpaduan bersama-sama dengan Umno, bahkan dua parti itu (Warisan dan Umno) gagal mendapat sokongan bila ia cuba menjatuhkan Hajiji sebagai Ketua Menteri awal tahun 2023.

Malahan berikutan cubaan gagal itu, Warisan dan Umno telah ditinggalkan pula oleh beberapa MP dan Adun mereka yang kini menyokong GRS.

Bagaimanapun, kata Kanul, Hajiji dan Kerajaan GRS perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik, lebih-lebih lagi semakin banyak keluhan rakyat mengenai keadaan infrastruktur negeri seperti keadaan jalanraya, bekalan air dan bekalan elektrik yang semakin tidak stabil kebelakangan ini. 

“Ini belum masuk lagi kos sara hidup yang terus meningkat contohnya dulu sepapan telur hanya RM12 kini masih RM19, rakyat amat terbeban sebab kehidupan mereka tidak stabil.

“Kerajaan stabil ini satu perkara, iaitu kerajaan itu tidak mudah dijatuhkan, tetapi prestasi sesuatu kerajaan itu atau pemimpin-pemimpin itu akan diadili oleh rakyat ketika membuang undi. Stabil dan prestasi ini dua perkara berbeda. Sepatutnya kalau stabil, prestasi kerja meningkatlah,” katanya lagi.

Oleh itu, katanya, sementara kerajaan sangat stabil dan banyak dana, buatlah kerja untuk rakyat, biar rakyat merasai keselesaan hidup dan tidak hanya mendengar yang negara mereka amat kaya dan para pemimpin pula begitu selesa dan banyak wang dan harta sedang orang kampung membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi.

— Borneo Gazette

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment