Home » Polis jalankan siasatan lanjut kes buli pelajar sekolah
Berita Am Berita Dalam Negara

Polis jalankan siasatan lanjut kes buli pelajar sekolah

Tangkap layar video tular yang membabitkan kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth. – Ihsan pembaca


BUTTERWORTH:
Siasatan awal polis mendapati kes buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah di sini pada Jumaat lepas membabitkan dua kejadian berasingan melibatkan dua mangsa iaitu pelajar lelaki tingkatan satu dan dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata pihak polis ketika ini sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengenal pasti punca sebenar kedua-dua kejadian buli tersebut.

“Berdasarkan siasatan mendapati dua kes berasingan itu berlaku pada hari sama iaitu pada 19 Mei lalu dan ia membabitkan dua mangsa yang yang dipukul beberapa pelajar lain di dalam tandas lelaki dipercayai di sekolah tersebut.

“Kes pertama berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari iaitu mangsa merupakan pelajar tingkatan dua telah dipukul oleh seorang pelajar tingkatan tiga manakala kes kedua pula pada 3 petang.

“Dalam kes kedua, mangsa merupakan pelajar tingkatan satu telah dipukul oleh sembilan pelajar senior dan siasatan kami mendapati mangsa kedua-dua kes tersebut dipukul menggunakan tangan serta kaki tanpa sebarang objek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bagi kes kedua, pihak polis berjaya menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat di sekolah sama.

Mohd Asri berkata susulan penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular di media sosial sejak Jumaat lepas.

Katanya punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video buli itu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang manakala kes kedua pula disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu sejak Jumaat, tular di media sosial dua kejadian buli berasingan di sekolah yang sama dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang marah dengan tindakan tersebut.

Antaranya sebuah klip video berdurasi 34 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang turut kelihatan menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan. — BERNAMA

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment