Home » Ibu reda, bayi ‘pergi’ selepas dua hari dilahirkan
Berita Am Berita Dalam Negara

Ibu reda, bayi ‘pergi’ selepas dua hari dilahirkan

Nur Hakimah memangku bayinya di samping suami, Syahmiezan, selepas bayinya meninggal dunia. – Foto Ihsan keluarga

KEMAMAN: Ketenangan terpancar dari raut wajah sepasang suami isteri biarpun diuji kehilangan bayi akibat jangkitan kuman di paru-paru selang dua hari selepas dilahirkan pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nur Hakimah Rais Ahmad, 28, berkata, bayinya yang dinamakan Ainul Syahidah Syahmiezan meninggal dunia jam 10.45 pagi di Hospital Kemaman.

Nur Hakimah memberitahu, bayinya yang dilahirkan di rumah itu perlu menerima rawatan lanjut di hospital berikutan sejarah sindrom guillain-barre atau GBS yang dihidapinya ketika kandungan berusia 33 minggu. 

“Ketika melahirkan Ainul Syahidah, saya tidak sempat ke hospital kerana mengalami kontraksi bersalin di rumah. Ketika itu saya seorang diri kerana suami sedang menghantar anak sulung ke rumah emak sebelum membawa saya ke hospital.

“Mujurlah urusan bersalin di rumah begitu mudah. Apabila suami pulang, dia terperanjat lihat saya sedang memangku bayi yang baru dilahirkan sebelum kami dikejarkan ke hospital,” katanya.

Nur Hakimah yang tinggal di Kampung Paya Berenjut, di sini berkata, ketika di hospital bayinya memerlukan pemantauan rapi manakala dia dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon dari pihak hospital jam 3 pagi pada Isnin memintanya datang ke situ kerana keadaan Ainul Syahidah tidak stabil.

“Bila sampai hospital doktor beritahu paru-paru anak saya sudah tidak boleh ‘survive’. Sokongan mesin juga tidak boleh menstabilkan oksigen dan kami perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan,” luah Nur Hakimah ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Katanya, selepas mendengar penjelasan doktor, dia dan suami, Syahmiezan Sahrom, 29, nekad menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Yang Maha Esa.

“Anak syurga kami yang ALLAH SWT pinjamkan sekejap. Lahir jam 8.25 pagi pada Sabtu dan ALLAH SWT ambil semula pinjaman Dia jam 10.45 pagi pada Isnin,” katanya yang mengusahakan kedai roti dan kek serta menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah.

Jelas Nur Hakimah, dia sempat melihat bayinya menarik nafas sebanyak tiga kali sebelum menghembuskan nafas terakhir dipangkuannya.

ALLAH sudah beri saya banyak sangat nikmat salah satunya mudah melahirkan. Saya berpegang pada kata-kata, setiap yang Dia kurniakan pada hambaNya adalah yang terbaik.

“Hari ini kalau paksa dia ‘survive’ belum tentu itu yang terbaik untuk masa depan dia. Jadi kami serahkan yang terbaik di tanganNya,” ujar Nur Hakimah.

Katanya, sepanjang kehamilan dia tidak mengalami masalah kesihatan yang serius.

“Doktor beritahu kematiannya berpunca daripada jangkitan kuman di paru-paru serta dipengaruhi faktor sekeliling, bukan hanya berpunca daripada penyakit GBS yang saya alami,” katanya.

Jasad Ainul Syahidah disemadikan di tanah perkuburan dekat Kuala Kemaman jam 2 petang pada Isnin lalu. – Sinar Harian

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment