Home » KKR Sabah laksana pelan jangka pendek atasi masalah bekalan air – Shahelmey
Berita Tempatan Politik

KKR Sabah laksana pelan jangka pendek atasi masalah bekalan air – Shahelmey

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata,JANS akan menawarkan kontrak penyelenggaran paip mengikut zon di seluruh Sabah bagi menggantikan paip usang dan berkarat sebagai langkah awal mengatasi masalah ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKR) akan melaksanakan pelan jangka pendek bagi mengatasi segera masalah bekalan air di Sabah khusus ketika musim cuaca panas ketika ini.


Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata, pelan tersebut bukan sahaja di kawasan bandar Kota Kinabalu dan sekitaranya, malah melibatkan di seluruh negeri.


“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menawarkan kontrak penyelenggaran paip mengikut zon di seluruh Sabah bagi menggantikan paip usang dan berkarat sebagai langkah awal mengatasi masalah ini.


“Selain itu, aduan ataupun laporan kebocoran paip atau paip pecah akan diambil tindakan segera dalam jangka masa 24 jam agar kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan,”katanya.


Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Senallang, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada sidang DUN Ke-16 penggal keempat di sini kelmarin.


Menurutnya, kecurian air (direct tapping/ illegal tapping) yang semakin berleluasa mengakibatkan peningkatan Non – Revenue Water (NRW), sehingga menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.


“Bagi mengatasi masalah ini, JANS melaksanakan satu kontrak Pra-Bayar di kawasan atau tempat-tempat yang telah dikenal pasti padat penduduk atau zon-zon yang berpotensi berlakunya kecurian air.


“Operasi bersepadu yang melibatkan pihak berwajib akan dilaksanakan bagi memantau, supaya isu kecurian air semakin berkurangan dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, JANS akan mengadakan pengambilan pekerja sambilan harian seramai 2011 orang bagi mengisi jawatan supaya kecekapan pengurusan dan pemantauan bekalan air dapat ditingkatkan.


“KKR dan JANS juga akan menjalinkan kerjasama dengan jabatan serta agensi lain untuk memelihara kawasan tadahan air melalui Majlis Sumber Air Negara,”katanya.

— Hamzah Sanudin