Home » Sepanyol alami kemarau teruk, empangan air mula kering
Berita Am Berita Luar Negara

Sepanyol alami kemarau teruk, empangan air mula kering

Penduduk di bandar dan kampung-kampung di Cordoba kini bergantung kepada penghantaran air harian untuk mendapatkan bekalan air minuman. – Foto AP

ANDALUSIA: Kekurangan taburan hujan dan peningkatan suhu yang tinggi mengakibatkan empangan air di Andalusia, Sepanyol kering dan mulai kosong.

Ia sekaligus membawa negara itu kepada krisis bekalan air yang menyukarkan penduduk di beberapa kawasan mendapat bekalan sumber air yang mencukupi.

Penduduk di bandar dan kampung-kampung di Cordoba kini bergantung kepada penghantaran air harian untuk mendapatkan bekalan air minuman.

Empangan Sierra Boyera yang terjejas merupakan sumber air bagi lebih daripada 72,000 penduduk di wilayah Córdoba dan kini hampir kehabisan bekalan.

Menurut laman web rasmi hidrografi tempatan, tahap air dalam empangan itu kini hanya pada 0.09 peratus.

Sepanyol mencatatkan suhu paling panas dan kering dalam sejarah pada bulan lepas, dan hampir 30 peratus negara itu kini mengalami darurat, susulan kemarau melampau.

Empangan ini menyediakan bekalan air kepada 27 pihak berkuasa tempatan dan 16 bandar dan kampung.

Namun, kini sejumlah 72,000 penduduk, di bahagian utara wilayah itu, tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Silvia Mellado, menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan lain untuk menyediakan air kepada lebih daripada 72,000 penduduk di dua wilayah yang terjejas.

AWANI