Site icon Sabah Baru News

Masalah air, elektrik dan jalan raya bukanlah isu baru di Sabah

Masalah air, elektrik dan jalan raya di Sabah bukanlah isu baru yang hanya muncul selepas GRS mengambil alih kerajaan negeri.

Ini merupakan isu legasi yang menjadi tanggungjawab besar kepada mana-mana kerajaan negeri untuk menyelesaikannya.

Usah terperangkap untuk mencari salah dan silap siapa. Setiap daripada pimpinan yang ada pada hari ini punya pengalaman dan peluang mentadbir negeri. Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan yang akhirnya mewujudkan sengketa. Ada yang menjadi wakil rakyat berpenggal-penggal malah ada yang dilantik menjadi menteri penuh bertahun-tahun. Jika itu yang kita lakukan, Sabah tidak akan kemana-mana.

Masanya kini untuk kita memandang ke hadapan. Bersama membangun negeri. Ini sahaja resepi mustajab membangun negeri.

Jika ikhlas mahu majukan Sabah, ketepikan kepentingan peribadi, bersatulah dalam soal membangunkan Sabah.

Sabah perlukan kestabilan untuk maju dan membangun. Kerajaan negeri hari ini telah memulakan langkah kanan. Pelbagai pencapaian yang signifikan direkodkan. Hasil negeri tertinggi dalam sejarah dicatatkan kerajaan negeri, dua tahun berturut-turut. Diyakini tahun akan datang hasil negeri akan terus meningkat.

Kehadiran pelabur pula semakin meyakinkan. Peluang pekerjaan yang dicipta memberi harapan kepada anak muda negeri ini.

Ruang terhadap tuntutan hak melalui MA63 semakin terbuka luas. Potensi negeri ini untuk maju dan rakyatnya berkemajuan amat besar.

Benar dan tidak boleh dinafikan, kita masih dibelenggu dengan isu asas termasuk air, elektrik dan jalan raya. Paling mustahak, kerajaan negeri sejak mula telah bertindak secara agresif dan sistematik untuk mengurangkan serta menyelesaikan masalah ini dalam tempoh segera dan panjang.

Lihatlah apa yang dicapai oleh jiran kita, Sarawak. Apa keutamaan pemain politik di negeri itu sejak sekian lama. Berapa kali Sarawak bertukar kerajaan. Berapa orang Ketua Menteri menerajui kerajaan Sarawak berbanding Sabah? Sarawak telah memperlihatkan, kestabilan negeri (sejak sekian lama) serta kesatuan dalam kalangan pimpinan politik dan rakyatnya, negeri itu kini lebih berdaya saing dan membangun.

Kita tidak akan mampu memperbetulkan kesilapan lampau. Namun kita boleh memperbaiki masa hadapan negeri Sabah tercinta.

Seperti bait-bait lagu, ‘pemuda-pemudi semua marilah, bangunlah bersatu semua, marilah bersama serta maju jaya…’
Kita mampu melakukannya.

*Azrul bin Ibrahim ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat.

Exit mobile version