Home » Tiga ditahan bersama syabu bernilai RM57,000
Berita Tempatan

Tiga ditahan bersama syabu bernilai RM57,000

SYABU: Salah seorang suspek yang disyaki menjalankan aktiviti mengedar dadah ditahan dalam serbuan tersebut.

TAWAU: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bersama lebih 750 gram dadah jenis syabu di Jalan Perdana Jaya, Batu 3, Jalan Apas, di sini Jumaat lepas.

Semua suspek berumur 30 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan maklumat yang dijalankan berkaitan dadah di daerah ini.

Katanya, hasil pemerhatian yang dijalankan di lokasi, mendapati seorang daripada suspek lelaki menerima satu bungkusan plastik daripada penumpang sebuah bas berhenti-henti yang parkir di tepi jalan.

“Polis segera mendekati suspek warga asing terbabit untuk menjalankan pemeriksaan tubuh badan dan menemukan satu bungkusan plastik warna oren ditangannya.

“Hasil pemeriksaan di dalam plastik tersebut, menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 753.73 dengan nilai RM57,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Pada masa sama, katanya, bas tersebut bertindak memecut untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang mengejarnya di kawasan Batu 5 Jalan Apas.

“Polis juga turut menahan seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga asing di dalam kenderaan berkenaan.

“Semua suspek terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan polis turut merampas bas berhenti-henti yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. 

Sementara itu, Jasmin berkata, kejayaan ini adalah salah satu usaha IPD Tawau bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan disisi undang-undang.

“Justeru, polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.

utusanborneo