KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedar akan potensi dan manfaat tenaga solar sebagai tenaga boleh baharu dan mesra alam yang berpotensi tinggi di negeri ini.
Wakil Rakyat Apas merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, selain menitikberatkan kemampanan alam sekitar, Kerajaan juga prihatin dan bertanggungjawab untuk memastikan bekalan tenaga elektrik kepada pengguna di Sabah adalah terjamin dari segi sekuriti bekalan dan dilaksanakan dengan kos yang optima agar tidak membebankan rakyat di negeri ini.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat (PGRS) berkata kapasiti tenaga solar di Sabah kini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW), iaitu terdiri daripada:
1) Projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar) iaitu projek solar yang berkapasiti melebihi 1 MW yang berjumlah sebanyak 50 MW dan telah beroperasi sejak tahun 2018 di Kudat; dan
2) Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim Feed-in Tariff yang berkapasiti 1 MW dan ke bawah sebanyak 796 pepasangan jenis individu, komersial dan komuniti yang berjumlah sebanyak 34 MW.
Manakala kapasiti Solar Berskala Besar yang sedang dalam pelaksanaan adalah 62 MW dan dijangka siap pada tahun 2024 di lokasi-lokasi berikut:
1) Satu (1) projek di Beaufort berkapasiti 6 MW;
2) Satu (1) projek di Kunak berkapasiti 5 MW;
3) Dua (2) projek di Sandakan dengan jumlah kapasiti 20 MW;
4) Tiga (3) projek di Tawau dengan jumlah kapasiti 16 MW; dan
5) Dua (2) projek di Labuan dengan jumlah kapasiti 15 MW.
“Oleh itu, jumlah besar tenaga solar yang telah dan akan beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146 MW atau 11% daripada jumlah kapasiti penjanaan seluruh grid Sabah,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.
Yong bertanya kepada Ketua Menteri berapakah Megawatt (MW) tenaga dari solar power yang kini dijana di Sabah dan apakah sasaran tenaga dari solar power yang diperlukan di Sabah.
Nizam berkata, maklumat daripada Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) yang dirangka oleh pihak SEDA (Sustainable Energy Development Authority) pada tahun 2021 menunjukkan, potensi solar di negeri Sabah adalah terbaik di Malaysia, iaitu sebanyak 99,400 MW sekiranya berdasarkan kepada jumlah kesemua keluasan tanah tidak dibangunkan sebanyak 1,887 km persegi atau sekitar 2.6% daripada jumlah keluasan tanah negeri Sabah bagi reka bentuk solar terpasang di permukaan tanah (atau jenis Ground Mounted).
“Akan tetapi secara praktikal, sekiranya sebahagian kecil daripada keluasan tanah tersebut dibangunkan sebagai ladang solar, umpamanya 1% daripada 1,887 km persegi (iaitu sekitar 19 km persegi atau 4,600 ekar), ianya boleh menghasilkan kapasiti solar sekitar 1,000MW.
“Namun, bagi memastikan kestabilan grid Sabah, kapasiti tenaga solar yang boleh disambung dan disalurkan ke grid Sabah adalah dihadkan kepada 22% daripada kehendak maksima sistem grid (iaitu dihadkan kepada 220MW sahaja ketika ini) memandangkan kepada kuasa tenaga solar yang tidak konsisten dan bergantung dengan keadaan sinaran matahari.
“Oleh itu, sasaran tambahan kapasiti tenaga solar yang dirancang oleh Kerajaan Negeri pada masa akan datang adalah terhad iaitu sekitar 100 MW sehingga tempoh 2027,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, kapasiti tenaga solar yang disalurkan ke grid elektrik negeri Sabah boleh ditingkatkan lagi sekiranya teknologi sistem simpanan tenaga bateri (Battery Energy Storage System) digabungkan bersama teknologi tenaga solar bila masa teknologi ini matang dan berdaya saing di masa akan datang.
“Memandang kepada had kapasiti sepertimana yang telah dijelaskan dan bagi membolehkan tenaga solar dibangunkan sebanyak mungkin ketika ini tanpa memberikan kesan negatif, maka Kerajaan Negeri (melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah atau ECoS) iaitu suatu badan berkanun negeri yang akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik termasuk tenaga boleh baharu dari Kerajaan Persekutuan pada penghujung tahun ini) akan juga menilai pelaksanaan projek-projek tenaga solar yang tidak disambung ke grid elektrik Sabah (off-grid connection) seperti penjanaan/ penggunaan tenaga kendiri (self generation/ consumption), pembekalan khusus (dedicated supply) umpamanya ke taman perindustrian” Nizam berkata.
Add Comment