Kota Kinabalu: Kerajaan yakin ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Negeri ini mampu mencecah sehingga 2.2 juta dengan anggaran pendapatan pelancongan kira-kira RM4 bilion tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ini didorong oleh pemulihan rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
“Sehingga Februari tahun ini, ketibaan pelancong ke negeri ini ialah 366,988 berbanding 2022 iaitu 200,027 dalam tempoh yang sama. Ini adalah peningkatan sebanyak 83.5 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, penerbangan domestik telah merekodkan sebanyak 396 penerbangan dalam seminggu dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Sarawak.
“Manakala untuk penerbangan antarabangsa, terdapat 93 penerbangan seminggu dari Singapura, Taipei, Korea Selatan, Filipina dan beberapa wilayah di China.”
Beliau menambah, Sabah akan menerima perkhidmatan penerbangan terus dari beberapa bandar di China mulai bulan depan – penerbangan AirAsia dari Beijing sebanyak tiga kali seminggu bermula 2 Julai, penerbangan AirAsia dari Macau sebanyak empat kali seminggu mulai 16 Julai, dan penerbangan dari Guangzhou bermula 1 Jun, tiga kali seminggu oleh China Southern Airlines.
“Peningkatan positif dalam rangkaian pengangkutan udara ini boleh meningkatkan momentum industri pelancongan negeri.
“Kementerian komited untuk membincangkan dan mengembangkan kerjasama dengan syarikat penerbangan di negara berpotensi tahun ini, seperti Australia dan Timur Tengah.”
Bagi memperkasakan industri pelancongan Sabah dan bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia akan datang, pelbagai inisiatif telah dan akan dirancang terutama dalam membangunkan produk serta kemudahan pelancongan baharu, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
“Ini juga sebagai usaha menambah nilai dan meningkatkan kapasiti pelancong serta menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pilihan yang mesti dilawati di negeri ini,” katanya.
Antara inisiatif perancangan pembangunan adalah; penambahbaikan kemudahan pelancongan di Pulau Manukan, penambahbaikan kemudahan pelancongan di Kolam Air Panas Poring, Ranau, dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi dinaik taraf sebagai Night Safari.
Kementerian, katanya, juga sedang mengenal pasti pelabur berpotensi dan perbincangan terperinci sedang dijalankan antara Kementerian dan pelabur.
“Pengurusan alam semula jadi lestari dan biodiversiti terpelihara adalah tunjang utama Kementerian dalam mengekalkan khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang.
“Kekayaan sumber alam semula jadi ini adalah aset utama produk pelancongan Sabah.”
Sehubungan itu, Kementerian melalui Taman-Taman Sabah akan melaksanakan beberapa langkah, seperti menambah baik Pintu Timpohon di Taman Kinabalu, Ranau, menaik taraf jeti Pulau Manukan di Taman Tunku Abdul Rahman, menambah baik kemudahan perkelahan di Air Terjun Senagang di Taman Banjaran Crocker, Keningau, serta pembinaan bangunan galeri hidupan marin di Taman Tun Mustapha, Kudat.
Tahun ini, Taman-Taman Sabah juga akan melaksanakan projek perdana di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pembinaan Pusat Latihan Altitud Tinggi di Gunung Kinabalu.
“Pembinaan pusat latihan khas ini akan menyediakan kemudahan latihan mendaki gunung bertaraf dunia untuk menyediakan pendaki elit dari seluruh dunia yang ingin mendaki Gunung Everest,” katanya.
Bagi pengurusan hidupan liar, iaitu tarikan utama pelancongan untuk pasaran Eropah, penguatkuasaan, kawalan, dan kajian hidupan liar adalah antara program yang akan diberi penekanan tahun ini.
“Menaik taraf pameran gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi adalah fokus utama Kementerian dalam menambah baik pengurusan dan kemudahan gajah pygmy, bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kakitangan serta gajah terpelihara.
“Mengenai pengurusan alam sekitar yang mampan, memelihara dan memulihara khazanah semula jadi akan kekal sebagai keutamaan.”
Pada masa sama, katanya, mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab bersama masyarakat dalam memastikan pembangunan negeri tidak akan menjejaskan kepelbagaian biologi, alam sekitar dan keunikan budaya masyarakatnya yang unik.
Justeru, pelbagai program dan aktiviti sama ada di peringkat akademik mahupun profesional telah dilaksanakan, dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pembangunan di Sabah berjalan seiring dengan pengurusan alam sekitar yang terancang dan bersepadu.
“Hubungan etnik berharmoni adalah kunci kepada keamanan dan kemakmuran sesebuah kerajaan terutama di negeri yang mempunyai pelbagai etnik dan agama.
“Bagi menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman dan unik serta memacu pembangunan pelancongan berasaskan budaya, Kementerian akan meneruskan dan meningkatkan program kebudayaan yang boleh menjadi pengalaman kepada pelancong yang berkunjung ke Negeri ini.
“Selain itu, Kementerian akan merancang untuk membangunkan Kampung Budaya di Kinarut supaya kepentingan khazanah warisan yang berharga dapat dilindungi malah berpotensi meningkatkan pendapatan daripada limpahan ekonominya,” katanya.
— Ricardo Unto
Add Comment