Home » Polis buru sekumpulan lelaki pukul gelandangan
Berita Dalam Negara Jenayah

Polis buru sekumpulan lelaki pukul gelandangan

KLANG: Polis giat mengesan sekumpulan individu terlibat kes pukul gelandangan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesan dua rakaman video yang tular di media sosial Twitter pada Sabtu memaparkan empat lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta yang memukul seorang gelandangan menggunakan pemukul besbol.

Menurutnya, kejadian berlaku di bawah jambatan Pelabuhan Klang berhampiran sebuah pasar raya Lebuh Beringin.

“Pada Ahad, Kaunter Aduan Balai Polis Pelabuhan Klang juga telah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada jam 12.02 tengah malam mengenai klip video terbabit di Instagram.

“Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini pihak polis sedang menjalankan usaha untuk mengesan mangsa.

Katanya, pada masa sama usaha untuk kesan suspek sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Sinar Harian

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment