TUARAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ketua Jabatan yang didapati menghalang usaha kerajaan negeri membawa pelabur masuk ke Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, terdapat kejadian di mana Ketua Jabatan didapati dengan sengaja mengenakan peraturan sendiri kepada potensi pelabur yang berminat melabur di Sabah.
“Keadaan itu secara tidak langsung memberikan isyarat negatif kepada pelabur, sekali gus menghalang hasrat mereka untuk melabur di negeri ini.
“Saya sedang memantau, sekiranya wujud kes sedemikian, saya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Upacara Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Tuaran Sesi 2023-2025 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, peranan Ketua Jabatan adalah untuk memudahkan pelaburan. Sekiranya semuanya dalam keadaan teratur, tidak perlu lagi menyusahkan para pelabur kerana kerajaan negeri hari ini mengamalkan dasar mesra pelaburan.
“Kita mahu mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat, sebab itu kita mahu membawa lebih banyak pelabur ke Sabah.
“Sejak dua tahun lepas, Sabah sudah menerima sejumlah lebih RM30 bilion pelaburan,” katanya.
Hajiji berkata, pelaburan terbaharu adalah daripada Esteel Group dari Singapura yang mahu melabur sejumlah US 2 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Usaha ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah tetapi juga akan mencipta limpahan ekonomi yang besar.
“Pelaburan Esteel Group di SOGIP untuk fasa satu akan menghasilkan ‘Hot Briquette Iron’ (HBI) dan keluli rata. Ia akan diikuti pelaburan berbilion dolar dengan menghasilkan produk keluli hijau secara berfasa,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru kepada semua Ahli Majlis Daerah memainkan peranan masing-masing dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang.
“Peranan sebagai ahli majlis dalam kerajaan tempatan adalah sangat penting, khususnya memastikan pembangunan di kawasan masing-masing dapat dilakukan secara tersusun dan lancar.
“Jangan leka, pantau pembangunan di kawasan masing-masing dan elakkan terjadi pembangunan ‘rojak’,” katanya.
Untuk Ahli Majlis Daerah Tuaran katanya, mereka perlu manfaatkan jarak diantara daerah dengan pusat bandar dengan memastikan limpahan pembangunan dapat dirasai rakyat di Tuaran.
Beliau juga menggesa semua ahli majlis dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan agar lebih peka dan proaktif ketika melaksanakan dasar kerajaan, selain mampu berfikir diluar kotak.
“Pastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan dalam urusan mereka dengan kerajaan,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment