Home » ADUN Balung sedia bertanding PRN Sabah akan datang
Berita Tempatan Politik

ADUN Balung sedia bertanding PRN Sabah akan datang

Hamild yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat DUN Balung berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada empat ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini kelmarin.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau berkata, semua keputusan terletak kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang sesuai diletakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung.

“Saya bersedia mempertahankan kerusi DUN Balung sekiranya mendapat mandat pucuk pimpinan kerana sokongan terhadap parti ketika ini semakin baik.

“Sokongan ini terbukti dengan tertubuhnya 114 cawangan di DUN Balung dan saya percaya ia akan bertambah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat DUN Balung berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada empat ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui yang turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada semua ketua isi rumah.

Mengenai persiapan jentera bagi menghadapi PRN, katanya, ia akan diperkemaskan dari semasa ke semasa melalui perbincangan bersama di peringkat bahagian dan pusat.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Hamild berkata, pihak kerajaan negeri akan sentiasa memberikan perhatian setiap rakyat yang ditimpa musibah.

Katanya, kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa kebakaran di kampung ini terbela dan diberi perhatian.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban semua mangsa yang terlibat dan kerajaan negeri akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan oleh mereka.

“Saya harap semua mangsa kebakaran bersabar menghadapi dugaan ini dan berdoa semoga mereka boleh memulakan hidup yang lebih baik selepas ini,”katanya.

Hamild menasihatkan semua penduduk di daerah ini supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika menggunakan peralatan memasak dan elektrik.

“Kebanyakkan kebakaran berpunca daripada kelalaian ketika memasak dan membuat penyambungan elektrik secara tidak betul,” katanya.

— Hamzah Sanudin