RANAU: Kerajaan mengalu-alukan sukarelawan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang dan berbakti kepada rakyat khususnya di kawasan pendalaman.
Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata, sebarang bantuan selain daripada sumber kerajaan termasuk daripada korporat dan swasta sangat diperlukan bagi membantu rakyat yang memerlukan.
“Di Sabah setiap tahun kita dapat lihat dana yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan rakyat di negeri ini.
“Kita mengambil contoh Projek Perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ), ia sememangnya tidak mencukupi kerana daripada lebih 600 permohonan di daerah ini, kerajaan hanya dapat menyediakan sebanyak 23 projek sahaja.
“Untuk memenuhi semua permohonan tersebut, ia akan mengambil masa selama kira-kira 20 tahun untuk menyediakan rumah SMJ tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Projek Air dan Sanitasi Kampung Narawang, di sini baru-baru ini.
Projek itu dianjurkan bersama Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Rotary Club of Likas Bay, Rotary Club of Bandar Seri Begawan dan Rotary Club of Changi.
Turut terlibat, rakan kongsi bersama Pertubuhan Komuniti Elite dan ditaja oleh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints Malaysia.
Menurutnya, bantuan daripada NGO sangat diperlukan dan dihargai supaya lebih ramai lagi rakyat di negeri ini dapat dibantu.
Jonathan menzahirkan rasa kegembiraan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek tersebut kerana kira-kira 600 penduduk kampung di sini menerima manfaatnya.
“Saya difahamkan penaja datang dari jauh ke kampung ini untuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk di sini,”katanya.
Turut hadir, wakil Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints Malaysia, Elder David dan Sister Jody Reese; Presiden Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Datuk Aminah Ambrose dan Pengerusi Projek Rotary Club (Air dan Sanitasi), Datuk Suzannah Liaw.
— Hamzah Sanudin
Add Comment