Home » Rumah ibadat di Penampang terus diberi perhatian: Ewon
Berita Tempatan Politik

Rumah ibadat di Penampang terus diberi perhatian: Ewon

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick
Ewon berkata, kesemua keperluan pembangunan di kawasan Penampang akan dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, keperluan dan pembangunan rumah-rumah ibadat di kawasan Penampang akan terus diberi perhatian selain perhatian kepada pembangunan lain.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu mengulangi komitmennya untuk terus bekerja keras bagi mendapatkan peruntukan pembangunan untuk manfaat penduduk Penampang.

“Sebagai wakil rakyat Penampang, saya akan berusaha memastikan pembangunan dan keperluan penduduk di sini terus diberi perhatian. Jaminan saya kepada penduduk Penampang ialah bekerja keras mendapatkan peruntukan pembangunan.

“Pembangunan yang kita rancang termasuk keperluan gereja. Pada April lalu, saya telah menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Holy Nativity Parish Terawi Penampang bagi menjayakan sambutan Pesta Kaamatan Peringat Diosis kota Kinabalu yang disertai 23 paroki seluruh diosis Kota Kinabalu,” katanya sempena Sambutan Kaamatan Gereja St Benedick Kg Timbangoh Laut, Penampang, di Balai Umat St Benedict, baru-baru ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri, Carl Moosom.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu berkata, kesemua keperluan pembangunan di kawasan Penampang akan dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Katanya, pelan pembangunan itu akan memudahkan kerajaan dan pemimpin merancang serta melaksanakan semua projek pembangunan di Penampang seterusnya menjadi rujukan kepada Rancangan Pembangunan Malaysia dan Rancangan Pembangunan Sabah akan datang.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment