KOTA KINABALU: Kelab Pemuda Taman Fajar mengemukakan cadangan penganjuran Pesta Cahaya Antarabangsa Tawau 2024 kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew menerima kertas cadangan itu daripada Pengerusi Penganjur Acara Philip Yap Wui Lip semasa melakukan kunjungan hormat kepadanya baru-baru ini.
Christina berkata, inistiatif Kelab Pemuda Taman Fajar mencadangkan penganjuran festival ini di Sri Tanjong bagi mempamerkan warisan budaya Tawau daripada persembahan muzik tradisional sehinggalah kepada masakan tempatan serta kemahiran membuat tanglung adalah dipuji.
“Festival ini akan meningkatkan imej Tawau sebagai destinasi wajib dikunjungi untuk pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Yap kemudian turut menyampaikan surat jemputan kepada Christina untuk memeriahkan majlis perayaan itu tahun hadapan berkata, Pesta Cahaya Antarabangsa akan berlangsung selama sebulan iaitu 15 hari sebelum sehingga hari ke-15 Tahun Baharu Cina pada 2024.
“Antara acara utama semasa festival itu ialah pasar malam tradisional Tahun Baharu Cina, gerai makan, persembahan kebudayaan dan pameran tanglung besar bagi mendedahkan karya artis tempatan dari daerah ini,” katanya semasa taklimat terbabit.
— Vivi Olviana Najurus
Add Comment