KUALA LUMPUR: Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Timbalannya, Oh Tong Keong mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026 di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.
Lau, yang mengambil alih jawatan Presiden selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU)14) pada November 2018, memperoleh 429 undi untuk mengalahkan tiga pesaingnya iaitu bekas Naib Presiden, Datuk Seri Michael Gan (76), bekas Setiausaha Agung, Datuk Liang Teck Meng (275 undi) dan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong (335 undi).
Tong Keong mempertahankan jawatannya dengan memperoleh 546 undi menewaskan Mak Kah Keong (468 undi), Dr Kiew Hen Chong (91 undi) dan V. Prabagaran (tiada undi).
Bagi tiga jawatan Naib Presiden untuk penggal 2023-2026, ia masing-masing dipegang oleh Koo Shiaw Lee dengan 999 undi, Datuk Baljit Singh Jigiri Singh (982) dan Datuk Alexander Lo Su Hyen (577).
Keputusan rasmi pemilihan diumumkan oleh Pegawai Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Gerakan , Soo Kay Ping sejurus selepas proses pengiraan undi selesai kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Mengulas kemenangan itu, Lau berharap semua pihak dapat menerima keputusan dengan hati yang terbuka bagi membolehkan mereka terus bersatu sebagai satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Rya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.
“Tidak kira menang atau kalah, kita harus bersatu hati sebagai satu pasukan untuk memenangi PRN kerana itu adalah agenda terpenting selain turut berharap dengan mandat diberikan, kita akan dapat memperbaiki imej Gerakan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, 18 jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat diisi oleh antaranya Woo Cheong Yuen, Hng Chee Wey, Tan Lee Ngee, Loh Kah Yong, Tan Po Kiat, Ch’ng Boon Chye, Sin Koon Yen, Datuk Seri Chandra Balabedha, Chai Ko Thing, Jimmy Chew Jyh Gang, Dennis Gau Thau Onn dan Lee Boon Shian.
Turut dipilih Datuk Tan Chin Hock, Syed Nor Azman Syed Daros, Ooi Pei Nar, Puvaniten M. Helan Govan, Teoh Chin Wan dan Gan Kim Keng.
Bagi jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda baharu ia dimenangi tanpa bertanding oleh Chung Mon Sie dan Wong Chia Zhen.
Pemilihan kali ini melibatkan seramai 1,848 anggota perwakilan.
— BERNAMA
Add Comment