Home » Peningkatan pemberian khas bukti Sabah di landasan tepat: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Peningkatan pemberian khas bukti Sabah di landasan tepat: Hajiji

Ketua Menteri berharap negara lain yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan akan mengambil petunjuk daripada keputusan kerajaan UK.
Ketua Menteri mengulangi pendirian Kerajaan Negeri bahawa Sabah tidak pernah melepaskan hak ke atas hasil 40 peratus itu.

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah pemberian khas kepada RM300 juta dari kerajaan Persekutuan membuktikan kerajaan negeri berada di landasan yang betul ke arah mendapatkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung peningkatan jumlah pemberian khas itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk terus menuntut hak Sabah yang belum dilangsaikan seperti yang terkandung dalam  MA63.

Beliau turut mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa Sabah tidak pernah melepaskan hak 40 peratus hasil negeri ini yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah penyelesaian sementara dan seperti yang disebut oleh Fadillah, rundingan masih diteruskan dengan jawatankuasa yang berasingan untuk menentukan dan memuktamadkan formula khas geran tahunan untuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh setahun.

“Sabah akan terus memperjuangkan hak pemberian khas mengikut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh, serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan formula dan kajian semula hak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Persekutuan daripada negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada Selasa lepas, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 mengumumkan Sabah dan Sarawak akan menerima pemberian khas berjumlah RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan tahun ini.

Pemberian khas RM300 juta itu adalah peningkatan sebanyak RM40 juta untuk Sabah daripada RM260 juta yang diumumkan kerajaan Pusat untuk negeri ini pada Januari lepas.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment