Home » Kekuatan, perpaduan Wanita GRS penting dalam perjuangan parti – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kekuatan, perpaduan Wanita GRS penting dalam perjuangan parti – Hajiji

GRS: Hajiji bersama Azizah dan Ketua-Ketua Wanita GRS sempena Pelancaran Jelajah Wanita GRS.

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa supaya terus meningkatkan perpaduan sedia ada untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan parti.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, walaupun kerajaan GRS masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk rakyat.

“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Saya amat yakin di bawah pimpinan Ketua Wanita GRS Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Wanita GRS terus menjadi satu pasukan yang kuat,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di sini kelmarin.

Beliau juga yakin GRS mampu perkukuhkan dan kuatkan lagi perpaduan sedia wujud sekali gus beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Dalam pada itu, Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana tujuh parti tempatan dalam GRS terus bersama-sama untuk memastikan perjuangan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.

Katanya, pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran lebih dua tahun lalu.

“Ini termasuklah ‘Langkah Kinabalu’, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.

“Mandat ini perlu kita pertahankan dan di sinilah juga peranan Wanita GRS amat penting untuk kita mencipta kejayaan dalam PRN akan datang.

“Justeru, program jelajah ini amat penting dan saya dimaklumkan oleh Ketua Wanita GRS bahawa mereka melawat ke semua zon di Sabah untuk menjelaskan dasar serta perjuangan GRS,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting perjuangan perlu diteruskan dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata, kerajaan GRS membawa banyak kejayaan selama lebih dua tahun memerintah negeri ini dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke Sabah.

“Banyak yang kita sudah buat, malah banyak negara mempunyai keyakinan dalam kepimpinan GRS apabila duta dan pesuruhjaya mereka yang datang jumpa saya menyatakan Sabah ada potensi untuk menjadi negeri yang maju. Mereka mahu melabur ke negeri ini.

“Bagaimanapun, pembangkang menyatakan macam-macam cerita terutama Parti Warisan (WARISAN) yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang kita buat dalam masa lebih dua tahun,” katanya.

Justeru beliau berkata, untuk meneruskan usaha yang dibuat kerajaan ini, semua komponen parti dalam GRS perlu bersatu hati.

“Kita perlu kuatkan perpaduan dalam GRS, Wanita kena bantu kami dan begitu juga golongan muda. Ini untuk memastikan perjuangan kita dalam GRS dapat mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Jangan kita buat silap lagi hingga berpecah-belah, Sabah negeri dan rumah kita. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment