Home » Terjemahkan semangat kearah sokongan terhadap kerajaan GRS: Shahril
Berita Tempatan Politik

Terjemahkan semangat kearah sokongan terhadap kerajaan GRS: Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) .
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata dengan adanya sokongan kukuh yang terus meningkat, kerajaan akan lebih bersungguh-sungguh untuk terus berjuang membawa kemajuan demi kepentingan rakyat serta negeri.

KOTA KINABALU: Kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini merupakan hasil kesepakatan serta semangat perpaduan jitu rakyat Sabah dan ia wajar dipertahankan agar kerajaan dapat membawa pembangunan yang lebih holistik.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, semangat itu jika diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada kerajaan hari ini sudah tentu ia akan membawa impak yang cukup signifikan.


Katanya, dengan adanya sokongan kukuh yang terus meningkat, kerajaan akan lebih bersungguh-sungguh untuk terus berjuang membawa kemajuan demi kepentingan rakyat serta negeri.


“Rakyat di negeri ini sudah tentu dapat menikmati manfaat kemajuan, hasil daripada kestabilan dan semua memerlukan bukan semata-mata sokongan sahaja tetapi sokongan yang lebih kukuh.


“Sokongan yang terus meningkat bukan sahaja demi kestabilan tetapi juga antara lain memastikan segala agenda serta perancangan kerajaan dapat dilaksanakan, yang akhirnya membawa manfaat yang jauh lebih baik, ” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Baru-Baru, Sulaman Khamis lepas, meminta rakyat supaya terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan GRS yang memerintah Sabah.


Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, kerajaan GRS mempunyai kesungguhan untuk membawa kemajuan demi kepentingan rakyat dan negeri.


Menurutnya, sokongan yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu perlu diperkukuh dan ditingkatkan lagi agar mendapat mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya amat menghargai sokongan padu rakyat selama ini tetapi saya mahu sokongan yang lebih kuat lagi pada masa akan datang, pada PRN yang akan datang,” katanya.

Kenneddy Corlleus