KOTA KINABALU: Perancis menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) terkini yang berhasrat untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dengan Sabah.
Duta Besar Perancis ke Malaysia Axel Cruau berkata, Sabah mempunyai potensi yang sangat baik dalam industri minyak dan gas, pemuliharaan hutan serta sektor pelancongan yang boleh diterokai oleh pelabur Perancis.
“Kami mempunyai syarikat Perancis yang bakal membuka Club Med Borneo tidak lama lagi dan kami sangat teruja mengenainya,” katanya ketika bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.
Club Med Borneo adalah sebuah resort tepi pantai mempunyai 400 bilik mesra alam seluas 17 hektar di Kuala Penyu dan dijangka dibuka tahun hadapan.
Axel yang memegang jawatan berkenaan pada Februari tahun ini turut menyatakan ekonomi Sabah memiliki potensi seiring dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.
Sementara itu Hajiji berkata, Sabah di bawah rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mengalu-alukan pelabur dan pelancong ke negeri ini.
“Kami ingin melihat lebih ramai pelancong Perancis datang ke Sabah dan negeri ini mempunyai banyak tarikan kepelbagaian bio terutamanya warisan dunia Gunung Kinabalu dan pelbagai budaya,” katanya.
— TAMAT
Add Comment