Home » Syarikat umrah diminta fokus beri perkhidmatan terbaik- Nizam
Berita Tempatan Politik

Syarikat umrah diminta fokus beri perkhidmatan terbaik- Nizam

KERJASAMA: Nizam (tengah) ketika menyaksikan majlis, menandatangani MOU berkenaan.

TAWAU: Syarikat pengendali perkhidmatan umrah diseru supaya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu fokus dalam penyediaan berkaitan kemudahan dan keselesaan jemaah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengurusan umrah perlu komited menawarkan perkhidmatan terbaik bagi membolehkan jemaah dapat menjalani ibadah umrah dengan penuh ketakwaan.

Menurutnya, pulangan dan keuntungan yang diperoleh perlu dilihat hanya sekadar imbalan daripada Allah S.W.T dan juga sebagai amalan soleh yang diberkati di dunia dan akhirat.

“Kita mengalu-alukan syarikat pengendali umrah bertapak di negeri ini untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di sini bagi menunaikan ibadah umrah dan berkunjung ke tanah suci,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Maal Hijrah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) di sini, hari ini.

PENGHARGAAN: Nizam (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Hikmah Centre.

MOU telah berlangsung membabitkan Hikmah Centre dengan Raudhah Borneo Travel and Services Sdn Bhd (RBTS) sebagai rakan strategik umrah.

Nizam berkata, pengurusan umrah juga perlu mengambil inisiatif dalam memberi khidmat berkaitan aktiviti dakwah dan keagamaan yang boleh memberi manfaat kepada perkembangan Islam di negeri ini.

“Di samping menjalankan perniagaan, kita juga perlu untuk membantu mengembangkan syiar Islam selaras dengan matlamat membantu jemaah dapat mengerjakan ibadah di tanah suci,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment