Home » Perkasa bahasa, budaya dan adat resam: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Perkasa bahasa, budaya dan adat resam: Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelaksanaan pelbagai program memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di Negeri ini juga akan terus diperkasakan

PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua persatuan etnik di negeri ini supaya terus memperkasakan bahasa, budaya dan adat resam etnik masing-masing agar tidak hilang akibat arus globalisasi yang semakin pesat.

Beliau berkata adalah penting bahawa warisan budaya kepelbagaian etnik di Sabah, yang terdiri daripada lebih 35 etnik dan 217 sub-etnik, menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek, akan terus diperkukuh dan tidak dipinggirkan dalam arus kemodenan dan teknologi hari ini. 

“Saya mahu persatuan etnik juga cuba memastikan anak-anak kita khususnya generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Lagu SabahVfm 2023 di Dewan KDCA Hongkod Koisaan, di sini, Khamis lepas.

“Saya bimbang ia akan hilang sekiranya bahasa ibunda tidak diberi perhatian serius.

“Sekiranya bahasa dan warisan budaya kaum itu tidak dikekalkan, maka hilanglah identiti kaum itu.“Oleh itu, generasi muda harus belajar tentang bahasa dan budaya rakyat mereka.

”Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata pelaksanaan pelbagai program memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di Negeri ini juga akan terus diperkasakan.

“Keunikan Sabah bukan sahaja pada sumber alam tetapi juga budaya masyarakatnya termasuk bahasa.”

Beliau berkata rakyat pelbagai kaum di Negeri ini perlu sentiasa berasa bangga untuk menampilkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing agar generasi muda dan orang luar mengenali mereka.

Bagi tujuan itu, katanya, penganjuran Anugerah Lagu SabahVfm yang mendapat sambutan baik daripada masyarakat khususnya artis muzik tempatan akan membantu usaha memartabatkan bahasa etnik Sabah dengan lebih berkesan melalui sinergi Kerajaan Negeri bersama agensi Persekutuan seperti RTM.

Beliau berharap dengan penglibatan lebih ramai anak muda daripada pelbagai kaum yang menyertai pertandingan sebegini, mereka dapat mengenali pelbagai bahasa dan budaya dengan lebih dekat.

Hajiji turut mengalu-alukan inisiatif dan kesungguhan RTM menganjurkan pertandingan berprestij lagu dalam bahasa etnik di Sabah.

“Penganjuran program ini dapat memelihara khazanah warisan budaya pelbagai etnik di Sabah khususnya bahasa agar tidak lenyap dalam arus perkembangan dunia globalisasi.

“Muzik dan lagu Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mencipta identiti budaya kita yang unik melalui bunyi dan irama alat muzik yang unik dan menarik.

“Saya berharap program itu menjadi satu usaha menggalakkan generasi muda kita mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.“Kita mesti memelihara bahasa ibunda untuk diwariskan kepada generasi akan datang dan memastikan ia tidak pupus.

“Dengan ini, bahasa dan setiap amalan budaya tradisional akan terus menjadi warisan untuk generasi akan datang.

“Semoga penganjuran Anugerah Lagu SabahVfm ini dapat meningkatkan penguasaan bahasa etnik khususnya bahasa Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut dalam kalangan masyarakat dari etnik masing-masing serta merentas budaya yang boleh menjadi wahana perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Sabah dan Malaysia,” katanya.

— TAMAT