Home » Kerajaan negeri komited lahirkan atlet belia – Nizam
Berita Tempatan Sukan

Kerajaan negeri komited lahirkan atlet belia – Nizam

PENGHARGAAN: Nizam (tiga kanan) menerima cendera kenangan daripada Mohamad Ali.

TAWAU: Kerajaan Sabah komited melahirkan atlet dalam kalangan belia dengan menyediakan peruntukan yang besar dan penganjuran sukan berprestij di peringkat negeri.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sudah menyalurkan peruntukan besar untuk kemenjadian belia dan sukan di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif menganjurkan Sukan Sabah (SAGA) setiap dua tahun bagi memastikan Sabah tidak ketandusan atlet berpotensi.

“Menerusi SAGA, negeri ini dapat mencungkil bakat dan melahirkan atlet berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Kita juga ke arah pembentukan masyarakat khususnya belia di bawah umur 20 tahun membudayakan sukan seterusnya, mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui semasa kejohonan Futsal dalam program Liga Sukan Komuniti Peringkat Bahagian Tawau, di sini hari ini.

Menurutnya, kejohanan yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan ini sangat bertepatan bagi menarik lebih ramai belia aktif bersukan.

Katanya, ia adalah program tahunan yang sangat bermanfaat bukan sahaja membudayakan sukan tetapi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kita melihat, selain mencungkil bakat baharu dan melahirkan masyarakat sihat, kejohanan ini juga mampu merapatkan silaturahim.

“Saya percaya, agenda ini harus disokong oleh semua pihak kerana kita percaya dapat melahirkan warganegara yang berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai hala tuju kehidupan sendiri,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau, Mohamad Ali Abdul Sari.

Hamzah Sanudin