Home » RM1.6 juta untuk bina 20 rumah SMJ di Lumadan
Berita Tempatan Politik

RM1.6 juta untuk bina 20 rumah SMJ di Lumadan

Ruslan bersama rombongan menunjukkan isyarat bagus semasa Majlis Pecah Tanah Rumah SMJ di Kg Beringin.

BEAUFORT: Sejumlah 20 buah rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bakal dibina tahun ini menerusi peruntukan kerajaan negeri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, pembinan itu akan membolehkan golongan sasar dalam kategori miskin dapat menikmati kehidupan lebih baik dan berkualiti.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu menjelaskan peruntukan bagi setiap rumah berbeza iaitu dalam anggaran RM80,000 sehingga RM85,000 untuk setiap unit berdasarkan lokasi dan kesesuaian tapak untuk membina rumah.


“Pembinaan rumah SMJ akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan lantikan kontraktor oleh Pejabat Daerah Beaufort dan untuk permulaan, pembinaan sebanyak empat buah rumah telah dimulakan.


“Manakala, pembinaan rumah selebihnya akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka 20 buah rumah SMJ akan siap tahun ini juga,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah SMJ di Kampung Beringin, baru-baru ini.

Ruslan berkata, projek rumah SMJ itu jelas menunjukkan kemampuan kewangan kerajaan negeri dibawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


“Sebanyak 1,460 buah rumah dibina di semua 73 DUN di Sabah membabitkan 20 buah rumah SMJ bagi setiap DUN.


“Ini adalah satu peruntukan besar bagi membantu rakyat yang memerlukan, selain menunjukkan peningkatan kewangan Sabah yang diterajui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Sementara itu, penerima rumah SMJ di Kg Beringin, Jaman Ungut, 43 ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Hajiji atas keprihatinan terhadap golongan susah.


Bapa kepada empat anak itu berkata, rumah sedia ada yang didudukinya bersama keluarga sejak sekian lama sudah tidak stabil dan tidak selamat kerana sudah terlalu usang.

“Rumah peninggalan orang tua isteri saya yang kami duduki ketika ini sudah tidak selamat dan sedikit condong susulan keadaan rumah yang tidak lagi kukuh kerana usang setelah dibina lebih 38 tahun lalu.


“Untuk baik pulih rumah ini, saya tidak mampu kerana pendapatan tidak menentu sebagai pembuat batu nisan, iaitu sekitar RM400 ke RM500 sebulan yang sememangnya turut tidak cukup menyara keluarga.


“Justeru, syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kerajaan GRS di atas keprihatinan ini dan penghargaan juga kepada wakil rakyat (Ruslan) atas usaha beliau sehingga kami menerima bantuan rumah SMJ ini,” katanya.

— Kenneddy Corlleus