Home » Modul Eksekutif Halal Antarabangsa baharu, lahir lebih ramai bakat profesional – Jakim
Berita Am Berita Dalam Negara

Modul Eksekutif Halal Antarabangsa baharu, lahir lebih ramai bakat profesional – Jakim

Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya yakin dengan pembaharuan modul tersebut, negara akan dapat mengeksport lebih ramai ke luar negara untuk membantu menambah baik industri halal di peringkat antarabangsa. – Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa yang baharu, bagi melahirkan lebih ramai bakat profesional dalam bidang halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya yakin dengan pembaharuan modul tersebut, negara akan dapat mengeksport lebih ramai ke luar negara untuk membantu menambah baik industri halal di peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara, kerana modul yang dibangunkan itu sudah tentu akan memberikan kebaikan kepada bakat baharu dalam negara mahupun di luar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali ke-13, di sini pada malam Ahad.

Konvensyen Badan Pensijilan Halal yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, mengumpulkan peserta daripada 84 buah negara, dengan pihak Jakim memberikan sijil akuan halal kepada 47 negara terlibat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya berharap, pembangunan modul itu dapat mengembangkan pensijilan halal di luar negara.

“Modul yang sedia ada hanya membuat kerjasama dengan syarikat Original Equipment Manufacturer (OEM) tempatan yang mempunyai kilang di luar negara.

“Kita (Jakim) melihat ada keperluan untuk Modul Eksekutif Halal Antarabangsa ini ditambah baik, supaya kita dapat memastikan standard dan keperluan halal di Malaysia dapat dipatuhi dan diguna pakai syarikat di luar negara, pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

AWANI