Home » Sukan Asia: Malaysia ambil langkah selamat, sasar 27 pingat
Berita Dalam Negara Sukan

Sukan Asia: Malaysia ambil langkah selamat, sasar 27 pingat

Dr Wan Azizah (tengah) hadir pada Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2022 di MSN, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Yeoh (dua, kiri), Mohamad Norza (dua, kanan) dan Chong (kiri). –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia mengambil langkah selamat dengan tidak mengumumkan sasaran Sukan Asia Hangzhou 2022 secara spesifik mengikut warna pingat buat kali pertama sejak beberapa dekad ini bagi mengelakkan tekanan kjepada atlet.

Malah, pendekatan baharu diambil dengan hanya mengumumkan sasaran sejumlah 27 pingat menerusi 13 jenis sukan tanpa menamakan sasaran emas bagi temasya yang bakal berlangsung di China bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.

Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt, berkata terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat pada kali ini.

Pada Sukan Asia kali ini, Malaysia akan diwakili oleh 289 atlet yang beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan atau 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan.

“Pengumuman sasaran pingat emas sahaja boleh menyebabkan tekanan berlebihan buat atlet dan jejaskan tumpuan mereka pamerkan prestasi terbaik mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 202, di sini, semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak terlibat termasuk pihak Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun yang mempunyai jalinan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata langkah tidak mengumumkan sasaran spesifik diamalkan oleh banyak negara lain termasuk kuasa besar dunia seperti Jepun dan Australia, serta jiran Asia Tenggara seperti Singapura dan Filipina.

“Kita kehilangan 12 pingat berbanding edisi lepas, iaitu dua emas daripada tenpin boling, enam perak (dua dari tenpin boling, empat pencak silat) dan empat gangsa (pencak silat) yang tidak dipertandingkan pada kali ini. Kita mendapat maklum balas daripada atlet selepas Sukan SEA lepas, bahawa mereka berasa tertekan jika diletakkan sebagai sandaran.

“Secara dalaman, memang setiap sukan dan atlet ada sasaran, seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mahu meraih dua emas, tetapi kita tidak umumkan untuk elak tekanan. Ada 14 atlet kita yang berada dalam ranking lima teratas Asia, mereka boleh naik podium pada bila-bila masa,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib anggap sasaran 27 pingat itu sebagai realistik dan mampu dicapai, malah mungkin membuka peluang untuk pencapaian yang lebih baik apabila atlet tiada tekanan.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia yang turun dengan misi meraih tujuh emas, berjaya menang sejumlah 36 pingat, iaitu tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Sebelum ini, Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei lepas, menerima kritikan hebat selepas mempamerkan prestasi kurang memuaskan dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.

Kontinjen ke Sukan SEA sekadar membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan.

Terdahulu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kim Fatt dan CDM Sukan Para Asia, KM Rajendran.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. — BERNAMA

AWANI