Home » Kerajaan perlu libatkan semua lapisan masyarakat tangani isu kekurangan tenaga kerja mahir – Pakar
Sudut Pandangan

Kerajaan perlu libatkan semua lapisan masyarakat tangani isu kekurangan tenaga kerja mahir – Pakar

Elya Nabila berpendapat, kerajaan perlu menerapkan apakah peranan masyarakat kepada negara untuk melaksanakan polisi yang ingin dilaksanakan. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melibatkan semua lapisan masyarakat dalam menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir di negara ini.

Menurut seorang pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri, kurangnya penglibatan golongan muda dalam mengisi tenaga kerja mahir itu adalah kelompangan yang perlu dilihat secara serius.

“Kerajaan punyai banyak perancangan dan dasar, tetapi tak selari dengan golongan muda. Kalau kita lihat pelaburan langsung asing, sangat cantik. Tetapi (dari segi) pelaksanaannya, banyak golongan tidak bersedia, mengejar dan selari.

“Saya kira, ini perlukan satu integrasi, duduk bersama dengan banyak golongan supaya mereka dapat lihat apa peranan mereka,” katanya.

Tambah Elya Nabila lagi, masyarakat perlu diterapkan dengan peranan agar memudahkan polisi yang ingin dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan perlu menerapkan apakah peranan masyarakat kepada negara untuk melaksanakan polisi ini,” jelas beliau yang merupakan pensyarah kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, UM.

Sementara itu, bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Mohd Ghani, kekurangan tenaga mahir di negara ini adalah disebabkan kurangnya bantuan kepada majikan kecil.

Ujarnya, majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai kesukaran dari sudut modal sekiranya ingin menambah baik kemahiran pekerja mereka.

“Sebab, hari ini kita lihat, apabila kerajaan umum gig ekonomi (boleh bekerja) seawal 18 tahun, golongan muda tidak mahu belajar sebab mereka hendak duit (pendapatan) yang cepat.

“Itu adalah kerja, bukan kerjaya, ini (hal) teknikal. Kita kena lihat bagaimana kerajaan perlu rangkum, (contoh) tentang kereta elektrik (EV), kita sudah ada banyak, (tetapi) adakah kita sudah bersedia apabila masuk kereta-kereta EV ke negara kita?” soalnya.

Tambah Mohd Effendy, meskipun Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) diperkasakan kerajaan, namun bantuan kursus bagi meningkatkan kemahiran pekerja, terutama terhadap majikan PKS, perlu disebarluaskan.

“TVET sudah menonjol. Timbalan Perdana Menteri telah menggerakkannya juga.

“(Tetapi) Majikan juga satu isu. Bagi majikan kecil, untuk menghantar (pekerja hadir) kursus, masalah juga dari segi kos.

“Ini kerajaan kena tengok, bagaimana hendak membantu PKS ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Poket Rakyat Astro AWANI pada Jumaat.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment