Home » Pandemik kudeta lama berlalu, kini Sabah meluncur maju
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Pandemik kudeta lama berlalu, kini Sabah meluncur maju

Nasib baik rakyat Sabah bijak bertindak pada PRN16 Sabah, untuk memberi mandat pada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah negeri.

SEBELAS hari lagi, genap tiga tahun Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Hj Noor menggalas tugas memimpin negeri. 

Sesingkat itu, Sabah mencipta banyak kejayaan di sebalik bermacam cabaran menduga. 

Perjalanan tiga tahun pertama Hajiji tidak semudah pemimpin sebelumnya. Beliau berhadapan ujian getir bermacam hal dari pelbagai penjuru. Sungguh mencabar, lagi mendebarkan. 

Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-16 pada hari Selasa, 29 September 2020, tiga hari selepas berakhirnya pilihan raya negeri.

Selepas istiadat angkat sumpah sedikit tertangguh, disusuli pergolakan politik antara parti yang bergabung membentuk kerajaan, Hajiji turut berdepan cabaran mentadbir negeri dalam keadaan pergerakan sangat terhad akibat pandemik COVID-19.

Ketika itu, COVID-19 sedang memuncak di seluruh dunia. Sabah tidak terkecuali. Sekatan perjalanan sedang berkuatkuasa. Semua orang wajib berpelitup muka.

Rempuhan COVID-19 mengajar budaya kerja baharu. Urusan dan keputusan dibuat secara atas talian. Mesyuarat dan persidangan diadakan secara maya. Permulaan sesuatu yang luar biasa ketika itu, tapi sudah menjadi kebiasaan pada hari ini.

Ini adalah cabaran awal Hajiji mengatur pentadbiran dan mengurus ekonomi negeri.

Bertatih dari situ, beliau terus mengatur langkah demi langkah. Memperkenalkan dasar. Mengemaskini sistem, memperkasa jentera pentadbiran.

Tanpa menoleh ke belakang, siang hingga malam Hajiji bekerja tanpa henti. Gigih berusaha membangun negeri.

Kepada rakyat, beliau mendambakan kudratnya membangunkan ekonomi dan menyediakan prasarana menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Kepada pelabur, Hajiji berusaha memikat mereka dengan dasar terbaik kerana baginya, ia penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketika semuanya sedang berjalan lancar, tiba-tiba gempa politik melanda Sabah. 

Di pertengahan perjalanannya, Hajiji menghadapi ujian politik getir menerusi cubaan rampasan kuasa `coup d’etat’ oleh sekelompok pemimpin dari dalam kerajaannya sendiri, yang bersekongkol dengan kumpulan pembangkang, untuk menggulingkan kepimpinannya.

Namun, kudeta itu gagal apabila kelompok berkenaan tidak mendapat sokongan sejumlah pemimpinnya sendiri. Malah, gabungan Pakatan Harapan (PH) Sabah sendiri tampil menyatakan pendirian tegas menyokong Hajiji untuk kekal memimpin negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian datang ke Sabah, memberi restu Hajiji sebagai Ketua Menteri, sekali gus menamatkan satu babak suspen dalam episod politik yang mendebarkan.

Hajiji kemudian merombak Kabinet negeri bagi membersihkan `duri-duri tajam yang sakit menusuk’ dalam kerajaannya sendiri.

Kelompok yang cuba mengulingkan Hajiji itu, akhirnya terguling sendiri.

Biarpun sakitnya sangat terasa, kudeta yang gagal itu tidak mematahkan semangat Hajiji  untuk mentadbir dan membangun negeri.

Dan di sebalik semua itu, Hajiji kelihatan tenang  menghadap rempuhan gelombang politik yang mendatang. Sesungguhnya, ia menguji pintar dan akal percaturannya.

Setelah tiga tahun mengurus negeri, ternyata Sabah sudah melakar banyak perubahan. Angka pertumbuhan positif sudah banyak diperkata, sementara agihan pembangunan sudah mulai terasa.

Dua cabaran itu – pandemik COVID-19 dan kudeta – sudah lama berlalu, Sabah terus meluncur maju. 

Kini waktu untuk semua saling membahu supaya fokus Hajiji tertumpu usaha tanpa diganggu, melaksana perancangan mengikut daya usaha termampu.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment