Home » Kaedah prakelayakan diguna segerakan projek Pan Borneo, kata TPM
Berita Dalam Negara Politik

Kaedah prakelayakan diguna segerakan projek Pan Borneo, kata TPM

Fadillah Yusof yang juga penyelaras projek Lebuhraya Pan Borneo, berkata beliau telah cadang perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya. (Gambar Bernama)
Fadillah Yusof berkata tender terbuka ambil masa lama berbanding prakelayakan di mana kontraktor penuhi syarat dipanggil masuk tender sebenar.

KUCHING: Kaedah perolehan secara tender prakelayakan merupakan antara langkah yang diambil bagi pemilihan kontraktor untuk projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dalam usaha mempercepatkan pembinaan lebuh raya itu.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata beliau telah mencadangkan pengunaan kaedah berkenaan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya bagi menyegerakan pembinaan lebuh raya yang melibatkan jarak keseluruhan 1,492km.

Beliau yang juga penyelaras bagi projek mega berkenaan, berkata dengan melaksanakan tender secara prakelayakan, ia dapat memastikan kontraktor dilantik diyakini, sekali gus tidak menjejaskan proses pembinaan lebuh raya itu.

“Sebab kadar perolehan kalau kita buat secara tender terbuka, ia akan mengambil masa lama terutamanya kalau tender itu masuk banyak, jadi saya telah cadangkan ‘prequalified tender’. Maknanya tender akan dibuka dengan meletakkan syarat.

“Kontraktor yang memenuhi kriteria akan dikenal pasti dan sesiapa yang layak nanti baru akan dipanggil memasuki tender yang sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Karnival Sara Hidup peringkat Sarawak di Dewan Hikmah.

Fadillah berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena Hari Malaysia 2023 semalam, yang menugaskan timbalan perdana menteri itu untuk menyegerakan pembinaan LPB daripada jangkaan tempoh yang telah ditetapkan.

Pada 20 Ogos, media melaporkan Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata Fasa 1 Projek LPB Sabah yang melibatkan 15 pakej kerja, kini pada tahap 82% pembinaan dan dijadual siap sepenuhnya pada Januari 2025.

Fasa 1 Projek LPB Sarawak pula melibatkan 11 pakej kerja, dengan hampir 98% siap dan dijadualkan siap tahun hadapan.

— BERNAMA