Home » RM132.6 bilion pelaburan baharu, dijangka cipta lebih 50,000 peluang pekerjaan
Berita Dalam Negara Politik

RM132.6 bilion pelaburan baharu, dijangka cipta lebih 50,000 peluang pekerjaan

2,651 projek yang diluluskan daripada pelaburan merupakan kenaikan sebanyak 34.8% berbanding enam bulan pertama 2022. (Gambar AP)
Sebanyak 2,651 projek dalam bidang perkhidmatan, perkilangan, dan sektor utama diluluskan antara Januari dan Jun.

KUALA LUMPUR: Malaysia menarik sejumlah RM132.6 bilion nilai pelaburan yang diluluskan dalam tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Pelaburan dalam bidang perkhidmatan (RM82.4 bilion), perkilangan (RM44.9 bilion), dan sektor utama (RM5.3 bilion) itu melibatkan 2,651 projek dan dijangka mencipta 51,853 peluang pekerjaan.

Menurut Mida, pelaburan langsung domestik (DDI) membentuk sejumlah RM69.3 bilion daripada keseluruhan pelaburan diluluskan itu, bersamaan 52.2%; manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM63.3 bilion atau 47.8%.

Lima sumber FDI tertinggi dari Singapura (RM13.7 bilion), Jepun (RM9.1 bilion), Belanda (RM9.0 bilion), China (RM8.4 bilion), dan Kepulauan Virgin British (RM7.1 bilion).

Lima negeri melaporkan nilai pelaburan yang besar daripada pelaburan diluluskan itu iaitu Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion), dan Sabah (RM9.0 bilion).

Mida berkata 2,651 projek yang diluluskan daripada pelaburan itu merupakan kenaikan sebanyak 34.8% berbanding enam bulan pertama 2022.

Mida menyifatkan pelaburan itu tanda keyakinan terhadap ekonomi negara, dan kerajaan yang menyokong dan membangunkan dasar-dasar pro-perniagaan serta secara berterusan memudahkan perniagaan.

Ia berkata kejayaan menarik jumlah pelaburan yang besar ini kerana kebolehan inovasi yang semakin baik, termasuk menjadi hab dipercayai bagi rantaian bekalan, modal, dan bakat, serta aliran barangan dan data.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz memuji Malaysia atas kejayaan menarik pelaburan di sebalik permintaan sejagat yang perlahan dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dalam pasaran-pasaran penting.

“Dengan pertumbuhan yang lebih kukuh dijangka pada separuh tahun kedua, saya yakin kita akan dapat mencapai sasaran untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

— FMT