Home » Kerajaan Negeri hargai sokongan berterusan masyarakat Cina – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kerajaan Negeri hargai sokongan berterusan masyarakat Cina – Hajiji

Menurut Hajiji, apa yang penting ialah kita semua harus dilayan sama rata sebagai rakyat dan diberi lebih peruntukan untuk mengambil kira saiz Sabah yang lebih besar (berbanding negeri semenanjung, kecuali Sarawak).

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai sokongan berterusan masyarakat Cina yang terus berdiri bersama-sama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam setiap sektor pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dengan sokongan padu itu Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul dalam membawa pembangunan di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kejayaan kita terbukti dengan kutipan hasil yang besar dan Kerajaan Negeri tidak akan berpuas hati, tetapi akan terus membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini yang boleh mewujudkan lebih banyak spin-off ekonomi.

“Kerajaan negeri juga sentiasa menekankan dasar keadilan dan prihatin dalam semua aspek bagi membantu masyarakat di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Justeru pada tahun ini kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM54.05 juta kepada sekolah-sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah. komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan peka akan keperluan masyarakat dan komited
membantu tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama”, katanya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Pusat ke-24 dan Bahagian Wanita Ke-6 Gabungan Persatuan-Persatuan Hokkian Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Putera Ballroom Taman Tun Fuad Bukit Padang pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Phoong Jin Zhe.

Hajiji mahu masyarakat Tionghua di negeri ini terus bersama-sama Kerajaan memajukan negeri ini kerana ramai dikalangan mereka termasuk Hokkien Clan terbukti pandai dan pintar dalam urusan perniagaan.

Katanya, Hokkien Clan adalah clan kedua besar di negeri ini selain daripada Hakka, dan Hokkien Clan juga adalah yang terbesar di negara ini.

Ketua Menteri berkata, usaha akan giat dipertingkatkan termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Di sinilah peranan daripada masyarakat Tionghua termasuk Hokkien Clan untuk turut sama mengambil peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini”, ujarnya.

Hajiji juga berharap masyarakat Hokkien di Sabah dibawah pimpinan Tan Sri TC Goh turut bersama memberikan sumbangan dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Kita berusaha keras untuk memajukan Sabah dari segi pembangunan dan kongsi kekayaan kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama”, katanya.

TAMAT