Home » Kerajaan akan semak dakwaan pembangkang tak dilibat mesyuarat urus bencana daerah – Armizan
Berita Tempatan Politik

Kerajaan akan semak dakwaan pembangkang tak dilibat mesyuarat urus bencana daerah – Armizan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali meminta Ahli Parlimen ‘dikecualikan’ memberikan maklum balas bagi tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
Arahan dikeluarkan pada 15 Mac minta semua wakil rakyat dilibatkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah.

PETALING JAYA: Kerajaan akan menyemak dengan setiausaha kerajaan negeri tentang dakwaan wakil rakyat tertentu tidak dilibatkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali meminta Ahli Parlimen yang “dikecualikan” memberikan maklum balas bagi tindakan lanjut.

“Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan arahan pada 15 Mac kepada semua setiausaha kerajaan negeri meminta supaya semua Adun dan Ahli Parlimen tanpa mengira parti dilibatkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah,” katanya, dengan peringatan dibuat pada 12 Sept.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.

Menjawab cadangan Shahidan Kassim (PN-Arau) supaya bantuan mangsa banjir dinaikkan kepada RM1,500 bagi Semenanjung dan RM2,000 di Sabah dan Sarawak, Armizan berkata ia akan dipertimbangkan namun mengingatkan bahawa jumlah keseluruhan bantuan bagi setiap isi rumah telah pun mengalami peningkatan.

“Contohnya, dalam menghadapi bencana monsun timur laut 2022-2023 lalu, bantuan yang disalurkan meliputi bantuan wang ihsan RM1,000 bagi setiap isi rumah, wang ehsan kematian RM1,000 bagi setiap mangsa, bantuan keperluan asas RM2,500 bagi setiap isu rumah, bantuan membaiki rumah tidak melebihi RM5,000,” katanya.

Chia Wan Rou