“Dalam tempoh lima tahun, kita akan terus berada di sofa ini,” kata Khairy Jamaluddin kepada rakan pengacara Keluar Sekejap (KS), Shahril Hamdan, di penghujung episod ke-48 podcast itu disusuli derai ketawa. Ia bukan pun bermaksud mempersendakan penonton tapi diri mereka sendiri selepas tewas pada PRU15 November lalu – Khairy dalam pertandingan tujuh penjuru di Sungai Buloh yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Shahril tewas perebutan empat penjuru di Alor Gajah kepada calon Amanah, masing-masing dengan majoriti tipis.
Menambah kepada rentetan kecewa itu, kedua-duanya kemudian disingkir Umno pada 27 Januari 2023 – Khairy dipecat tanpa pertuduhan atau peluang membela diri sambil Shahril digantung enam tahun atas alasan melanggar disiplin parti atau lebih mudah difahami sebagai tidak sehaluan dengan Presiden Zahid Hamidi, selepas kekalahan teruk Umno pada PRU15. Maka, dari situlah lahirnya podcast KS dengan episod pilotnya pada 1 Mac lalu mendapat 62,906 tontonan, disusuli episod pertamanya seminggu kemudian dengan matlamat untuk merapatkan jurang dalam perbincangan isu politik dan semasa dengan gaya lebih santai serta bahasa mudah difahami.
“Ada yang kata Shahril menyertai podcast ini untuk menumpang populariti saya. Adakah ini benar atau tidak?” soal Khairy dalam episod pilot itu kepada gandingannya, yang menjawab: “Saya rasa walaupun populariti saya masih kurang, tapi saya di sini atas merit saya sendiri.”
Seterusnya KJ menyimpulkan: “Saya ingin nyatakan KS – Keluar Sekejap Khairy, Shahrir – adalah equals (setaraf).” Ia tidak pun berubah sejak itu.
Selama berminggu-minggu berikutnya, KS menampilkan kedua-duanya bertanggungjawab seimbang dalam membawakan isu dan mencerakinnya di sebalik pandangan mereka mungkin tidak disetujui oleh semua. Kelmarin, KS sudah sampai ke episod ke-50 – angka langganannya juga sudah meningkat kepada 141,000 orang – yang menampilkan tema khas sempena sambutan Hari Malaysia ke-60 di samping turut membincangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Jumlah tontonan episod ini saja mencapai 145,777.
Selepas tujuh perenggan pengenalan ini, harus ada yang beranggapan tulisan ini satu promosi buat KS. Jawapannya ya dan tidak.
KS, antara podcast isu semasa terulung ketika ini, tidak pun perlu promosi orang lain melainkan bergantung kepada kekuatan kandungannya sendiri. Saban minggu, ada saja topik perbincangannya yang dipetik media arus perdana merentasi pelbagai bahasa yang terus menjadikan ia sebagai rujukan.
Sebaliknya, rencana ini lebih bertujuan untuk menyorot perkembangan Khairy – suatu ketika dianggap pemuda berusia 28 tahun paling berkuasa di Malaysia pada 2004 ketika bapa mentuanya Abdullah Ahmad Badawi baru menjadi perdana menteri kelima dan beliau kemudian diuar-uarkan bercita-cita menjadi perdana menteri sebelum usianya menginjak 40 tahun. Di sebalik sudah melepasi garis masa itu dengan Khairy kini berusia 47 tahun, tanpa jawatan politik dan tanpa parti untuk menaunginya, terang lagi bersuluh beliau tidak rela dirinya jadi tidak lagi relevan dalam politik tanah air.
Malah, kedudukannya umpama ‘ejen bebas’ dalam bola sepak yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini, meluangkannya untuk melontarkan pendapat dalam apa saja isu politik, tanpa beliau dibatasi oleh banyak kekangan. Sesekali dalam episod KS, Shahril akan mengusiknya sebagai ‘jurucakap’ Perikatan Nasional dan pada ketika yang lain pula menyakatnya selaku ‘presiden bayangan’ Umno. Namun, dari sudut mana pun, banyak pandangan atau kritikannya yang harus didalami melampaui tutur bicaranya kerana berbanding keadaan-keadaan biasa apabila komennya adalah secara terus, ada banyak juga yang berkias, berjenaka atau sangat sinis.
Komennya turut mendapat kecaman dan dipertikaikan, yang bagaimanapun tidak mengubah pendiriannya untuk meluahkan apa yang dirasakannya patut dinyatakan. Sesiapa saja boleh membuat kesimpulan sendiri terhadap pandangan keras Khairy, terutama terhadap Umno dan Zahid, tapi tiada siapa pernah berada di tempatnya atau apa yang telah dilaluinya untuk benar-benar mengerti apa yang bersarang di kotak fikirannya. Satu rakaman video temubual dikendalikan pengacara Shazana Mukhtar dalam The Breakfast Grill melalui BFM 89.9 pada 30 Januari 2023 yang mendapat 330,592 tontonan mungkin dapat memberi sedikit pencerahan.
“Ini bukan kali pertama saya terkeluar dari tampuk kuasa. Pada 2009, apabila saya menjadi ketua Pemuda Umno, saya disisihkan oleh Najib (Razak). Lazimnya, ketua Pemuda Umno akan dilantik ke Kabinet untuk satu penggal penuh.
“Pada 2018, selepas berkhidmat sebagai menteri selama lima tahun, saya terkeluar lagi. Setiap kali anda terkeluar, anda akan mempunyai matlamat, jadi saya OK,” kata Khairy.
Adakah cita-cita anda untuk memimpin negara ini sebagai perdana menteri masih kekal?
“Saya akan alu-alukan keistimewaan untuk memimpin negara ini pada suatu hari tapi saya tidak berapa pasti bagaimana itu akan berlaku. Ya, saya masih mahu memimpin negara ini pada suatu hari, bagaimana saya akan ke situ saya tak tahu.
“Tapi saya mahu pastikan apa saja keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan mendatang adalah berdasarkan visi bagi sebuah negara yang saya gembira dan selesa dengannya,” jawabnya kepada soalan terakhir itu.
Sekali lagi pada penghujung KS episod ke-48 itu, Shahril menyimpulkan mengenai masa depan podcast berkenaan: “Saya tak rasa benda ni sekejap, selama-lamanya atau lama tapi lama.” Ini disusuli celahan Khairy: “Dalam tempoh lima tahun, kita akan terus berada di sofa (podcast) ini. Ha ha ha ha ha.”
Harus selama itu juga, KJ akan terus berceloteh, mencadang dan mengkritik – sama ada suka didengar atau sebaliknya oleh pihak-pihak yang disentuh – tanpa beliau mampu disenyapkan.
Kepada satu soalan daripada Ani Zulkifli sama ada matlamat KS diadakan tercapai atau tidak setakat ini, Khairy membiarkan kepada Shahrir untuk menjawabnya: “Ya kalau matlamatnya adalah untuk melibatkan audiens dalam hal-hal polisi dan politik dengan cara yang saya fikir tidak partisan. Orang mempunyai pandangan mereka sendiri tapi saya fikir KS tidak partisan, kami bersikap adil dan orang berminat untuk mendengarnya.”
Seperti dinyatakan awal tadi bahawa tulisan ini bukan bertujuan untuk mempromosikan KS, terpulang kepada sesiapa saja untuk membuat pilihan bersetuju atau tidak, atau untuk terus mengikuti podcast itu atau sebaliknya kerana tiada sebarang paksaan.
*Artikel ini adalah adalah berdasarkan pandangan penulis veteran Hishamuddin Aun dan tidak semestinya mewakili Sabah Baru News
Add Comment