Home » Sabah mohon pertimbang masukkan tiga pakej tambahan laksana LPB Sabah
Berita Tempatan Politik

Sabah mohon pertimbang masukkan tiga pakej tambahan laksana LPB Sabah

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raja Sabah berkata demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi KKR Malaysia di Dewan Rakyat di sini semalam.

Kuala Lumpur : Sabah memohon agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia untuk mempertimbang memasukkan tiga pakej tambahan bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB) fasa pertama.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, tiga pakej itu pada tempoh pelaksanaan projek dibawah konsep Rakan Penyampai Projek (PDP) telah dikemukakan untuk melengkapkan jaringan fasa satu LPB Sabah dengan lebih efisien.

“Saya ingin mengambil kesempatan ruang pada petang ini (semalam) untuk memohon pertimbangan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia bagi mempertimbangkan memasukkan tiga pakej tambahan bagi pelaksanaan LPB Sabah fasa pertama.

“Antaranya iaitu Pakej 6A iaitu persimpangan Lok Kawi-Kinarut; Pakej 15A Jalan Pesisir Tawau dan Pakej 27A Libaran Bypass kerana pada waktu tempoh pelaksaan projek ini dibawah konsep PDP dahulu, tiga pakej ini telah dikemukakan untuk melengkapkan jaringan fasa satu LPB Sabah dengan lebih efisien lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raja Sabah berkata demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi KKR Malaysia di Dewan Rakyat di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga kini sebanyak 15 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan terkini bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah 83 pertaus dan akan siap pada awal 2025.

Katanya, pelaksanaan projek Fasa satu LPB Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

“Manakala status Pakej Kerja sembilan yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula masih di peringkat perolehan.

“Sehingga kini, pakej-pakej kerja berikut telah dibuka untuk pengguna jalan raya iaitu melibatkan Pakej Kerja 5 iaitu Donggongon ke Papar telah siap pada 29 Ogos 2022; Pakej Kerja 27: Kampung Lot M ke Batu 32, Sandakan telah siap pada 18 November 2022; dan Pakej Kerja 15: Tawau ke Semporna telah siap pada 10 Ogos 2023,” katanya.

Alexander berkata, secara keseluruhan, 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini, dengan kos keseluruhan sebanyak RM 10.849 bilion menggunakan peruntukan pembangunan (Development Expenditure – DE)  sepenuhnya.

Katanya, keutamaan pelaksanaan Projek LPB Sabah pada masa kini adalah untuk  menyiapkan keseluruhan Fasa 1 terlebih dahulu.

“Untuk Fasa 2 dan 3, pelaksanaan adalah tertakluk kepada kaedah dan juga penelitian lanjut bersama Agensi Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah serta status kewangan semasa Kerajaan,” katanya.

— TAMAT