Home » Usul KSP RMK12 lulus dengan suara majoriti di Dewan Rakyat
Berita Dalam Negara Politik

Usul KSP RMK12 lulus dengan suara majoriti di Dewan Rakyat

Anwar ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) diluluskan dengan suara majoriti di Dewan Rakyat hari ini, tanpa Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan ketika penggulungan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sebanyak 26 kementerian selesai menggulung usul berkenaan selama dua hari bermula semalam selepas  151 Ahli Parlimen membahaskan usul itu sepanjang tiga hari pada minggu lepas. 

Kesemua Ahli Parlimen daripada blok pembangkang kecuali Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), bertindak meninggalkan dewan kerana tidak puas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) keluar dewan kerana mengganggu sesi penggulungan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan. 

Radzi diarah keluar apabila terus mempertikai keputusan Johari berhubung kenyataan Anwar yang dikatakan mencalar maruah Ahli Parlimen Putrajaya itu dan berulang kali meminta Johari membuat keputusan supaya Anwar menarik balik kenyataannya.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan kira-kira 40 minit apabila berlaku pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang bangun serentak mempertahankan hujah masing-masing.

Johari sebelum membuat keputusan mengarahkan Putrajaya keluar dewan dan meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung maksud kenyataannya itu dan Anwar menjelaskan bahawa pihak pembangkang enggan mendengar penjelasannya kerana mereka telah biasa dengan sistem pentadbiran terdahulu yang pernah membuat keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam beberapa kes terdahulu.   

“Sebelum saya habis penjelasan DNAA dijerit dan disergah, apa jawapan saya? Kamu tahu pentadbiran dahulu bagaimana…Putrajaya tahu.

“Menteri-menteri pun ada di sini, Peguam Negara yang sama, Peguam Negara pada masa itu Tan Sri Idrus Harun, Putrajaya tahu apa yang berlaku,” katanya.

Rentetan itu, Johari membuat keputusan mengarahkan Radzi keluar selepas gagal mendengar arahan untuk duduk dan tidak mengganggu penggulungan usul itu, menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) keluar dari dewan.

“Kalau Speaker minta Putrajaya keluar, bermakna maruah kami juga, kita semua akan keluar sebab itu saya tak terima sesuatu yang tidak boleh dipertanggungjawab dengan adil,” katanya.

Anwar kemudian meneruskan penggulungannya bagi Kementerian Kewangan sebagai kementerian terakhir menggulung perbahasan usul KSP RMK12 yang dibentangnya 11 Sept lepas.  

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga tarikh yang ditetapkan kelak.

– – BERNAMA 

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment