KOTA KINABALU: Program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) yang disemak semula akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, program SMM2H yang diperhalusi bertujuan menjadikan Sabah mampu menarik lebih ramai warga asing berpindah ke negeri ini.
“Kebanjiran warga asing yang memiliki kepakaran dan keupayaan pastinya memberi manfaat kepada kita khususnya untuk program SMM2H yang akan dibentangkan pada sidang DUN nanti.
“Kami berharap dapat melihat lebih ramai dalam kalangan mereka yang memiliki bakat bernilai tinggi termasuk dari Korea Selatan untuk berpindah ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu di Plaza Shell di sini hari ini.
Hajiji berkata, Sabah kini menjadi rumah kepada kira-kira 2,000 warga Korea yang kebanyakannya tinggal di kawasan bandaraya.
“Kami amat menggalakkan kehadiran masyarakat Korea secara mampan di negeri ini.
“Walaupun jumlah berkenaan masih agak kecil, kami berbesar hati dengan penyertaan aktif mereka dalam ekonomi negeri ini.
“Secara keseluruhan, kehadiran mereka turut memberi impak yang besar kerana ramai yang memilih untuk menetap di sini dengan membawa pengalaman serta kepelbagaian kemahiran mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, pembukaan Konsulat Republik Korea di sini menjadi langkah penting dalam memperkembangkan rangkaian diplomatik dan konsular Korea Selatan kerana membantu usaha untuk membina dan meningkatkan hubungan serantau dan global.
“Jalinan kerjasama di antara Malaysia dan Korea sudah melangkah jauh selama enam dekad selepas terjalinnya hubungan diplomatik pada 1960. Sejak itu, kita mencapai banyak kemajuan dalam pertukaran dan kerjasama menerusi pelbagai bidang.
“Pada 2022, Korea Selatan disenaraikan sebagai rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dan destinasi eksport kelapan terbesar, manakala hubungan perdagangan antara Sabah dan Korea Selatan berkembang dengan stabil.
“Ia meliputi eksport perdagangan Sabah ke Korea Selatan yang mencatatkan RM4 bilion dan import Sabah dari Korea Selatan merekodkan RM900 juta tahun lepas,” katanya.
Selain itu Hajiji berkata, pelaburan utama Korea Selatan di Sabah setakat ini tentunya projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis oleh syarikat Korea Selatan bernilai RM4.2 bilion dan menjadi salah satu pelaburan asing terbesar di Sabah.
Menurutnya, pelaburan berimpak tinggi itu menjanjikan bukan sahaja peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan perindustrian Sabah.
Katanya, ia sekali gus mengubah ekonomi Sabah menjadi lebih canggih seterusnya memberi manfaat kepada pihak berkepentingan Korea Selatan dan di rantau ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmy Yahya; Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae; dan Konsul Jeneral Korea Selatan di Kota Kinabalu Joo Jung Cheol.
— TAMAT
Add Comment