Home » RM936.42 juta dana pelaburan diluluskan untuk pembangunan startup- Arthur
Berita Dalam Negara Politik

RM936.42 juta dana pelaburan diluluskan untuk pembangunan startup- Arthur

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Negara.

KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan dana pelaburan sebanyak RM936.42 juta untuk pembangunan startup.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia merangkumi pelaburan, suntikan ekuiti dan pinjaman, dengan fokus bidang utama terhadap pembangunan teknologi maklumat serta sains dan teknologi.


“MOSTI melalui Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 menyatakan bahawa kekurangan pembiayaan sektor swasta merupakan antara faktor yang mempengaruhi perkembangan syarikat pemula menuju peringkat-peringkat selanjutnya.


“Melalui pelaksanaan SUPER 2021-2030, lima penjana ekosistem iaitu Pembiayaan, Inovasi, Bakat, Ekosistem Pasaran serta Dasar dan Peraturan dikenal pasti dapat meletakkan Malaysia di antara dua puluh ekosistem syarikat startup terbaik di dunia menjelang tahun 2030.


“Di bawah SUPER, sebuah Jawatankuasa Pemandu rentas Kementerian yang melibatkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pengajian Tinggi dan lain-lain pihak berkepentingan diwujudkan dalam membincangkan isu-isu pembiayaan dana serta potensi pendanaan alternatif bagi memperkasakan lagi ekosistem startup negara.

“Antara hasil daripada pelaksanaan Jawatankuasa Pemandu ini ialah program Fund Funnel yang melibatkan firma modal teroka dan agensi pembiayaan kerajaan seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) sebagai satu platform komunikasi antara firma modal teroka, agensi pembiayaan kerajaan dan Bursa Malaysia untuk berkongsi maklumat seperti startup berpotensi, tren pelaburan terkini serta syarat penyenaraian di Bursa (Bursa Listing Requirement).


“Pelaksanaan program Fund Funnel ini juga selari dengan SUPER 2021-2030 yang menekankan kepentingan penstrukturan semula ekosistem pelaburan tempatan untuk meningkatkan kecekapan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, ” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Negara.

 
Empat Senator telah mengambil bahagian dalam usul perbahasan KSP RMKe-12 di Dewan Negara iaitu, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Senator Dr. Wan Wan Martina Wan Yusoff; Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dan Senator Norita Sual.


Mengulas lanjut Arthur berkata, Fund Funnel akan memberi impak yang positif dalam usaha mengatasi keperluan pendanaan bagi startup yang berdaya saing dan meningkatkan bilangan startup yang disenaraikan di Bursa Malaysia.


Tambahnya, program itu juga memberikan pendedahan dan memahirkan agensi pembiayaan Kerajaan terhadap corak pelaburan firma modal teroka swasta.


“Selain itu, Inisiatif portal MYStartup merupakan sistem penyampaian tunggal awam yang tangkas dan kolaboratif yang bakal menjadi titik utama kerjasama antara semua pemegang taruh di dalam ekosistem startup negara.


“Melalui portal MYStartup di www.mystartup.gov.my, usahawan dan pemain industri ekosistem startup boleh melayari tawaran program-program pembangunan kapasiti atau program sokongan pembiayaan lanjutan yang merentasi Kementerian.


“Merujuk kepada syarikat Twistcode, Malaysian Technology Development Corporation atau MTDC pada tahun 2015 telah pun membiaya syarikat ini dengan pembiayaan Business Startup Fund berjumlah RM5.0 juta untuk pengkomersialan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) Tahap 4 melalui pengkomputeran berprestasi tinggi untuk kegunaan industri data raya (Big Data).


“Syarikat Twistcode mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang dan kini sedang mengkomersialkan acceleration-as-aservice dalam pelbagai industri seperti kesihatan, kewangan, minyak dan gas, kejuruteraan dan pembuatan serta telah berjaya menembusi pasaran di Indonesia, Arab Saudi dan Jepun, ” katanya.


Melalui MAVCAP Arthur memberitahu, beberapa syarikat pemula dikategorikan sebagai soonicorn iaitu Aerodyne, EasyParcel, Involve Asia dan TheLorry telah menerima siri pembiayaan dari pelbagai peringkat bagi memastikan dapat menuju ke arah status syarikat bertaraf unicorn.


“Salah satu daripada syarikat pemula yang telah mencapai status unicorn teknologi di Malaysia ialah Carsome yang mana MAVCAP telah membiayai hampir USD 15 juta sejak tahun 2015.  


“Menerusi dana-dana di bawah kawal selia MAVCAP pula, lebih 1,000 syarikat pemula tempatan mahupun antarabangsa telah menerima manfaat daripada dana-dana modal teroka di bawah kelolaan MAVCAP, dari peringkat awal (seed) sehingga ke peringkat growth stage (sehingga series C ), ” katanya.

–Kenneddy Corlleus

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment