Home » Pusat latihan kejurulatihan kayak bakal dibangunkan di Politeknik Ibrahim Sultan
Berita Dalam Negara Sukan

Pusat latihan kejurulatihan kayak bakal dibangunkan di Politeknik Ibrahim Sultan

Ulaimi dan Mohd Fauzi bergambar bersama ahli KMJ, atlet PSI dan kakitangan PSI pada Majlis Hi-Tea PSI dan KMJ di sebuah hotel di Johor Bahru, 8 Nov 2023. –fotoBERNAMA


JOHOR BAHRU:
Sebuah Pusat Latihan Kejurulatihan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) bagi melahirkan tenaga jurulatih khususnya sukan kayak akan dibangunkan di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini tahun depan.

Pengarah PIS Ulaimi Yahya berkata pusat latihan itu dijangka melatih sebanyak 30 jurulatih kayak yang kemudiannya akan dihantar ke politeknik di seluruh negara bagi melahirkan atlet sukan berkenaan.

“Pusat latihan ini akan menjadi pemangkin buat politeknik melahirkan jurulatih dan menghasilkan inovasi bersesuaian yang boleh membantu meningkatkan aspek kesukanan dalam kalangan pelajar.

“Antara sebab kita memilih sukan kayak adalah kerana ia merupakan kelebihan kita yang telah terbukti dengan beberapa kejayaan merangkul pingat mewakili negara termasuk dalam Sukan SEA baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Santai Mesra PIS Bersama Media Johor 2023 yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak di sini pada Rabu.

Ulaimi yang juga Bendahari Majlis Sukan Politeknik Malaysia berkata PIS pada masa sama berhasrat melahirkan lebih ramai graduan holistik bercirikan keusahawanan serta cemerlang dalam bidang kesukanan.

“PIS telah merangka pelbagai program bersesuaian yang boleh memberi kesan kepada objektif itu terutamanya dalam menghasilkan tenaga kerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Melalui penawaran 19 program melibatkan dua ijazah, 14 diploma dan tiga sijil termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak bisu, kita ada hala tuju baik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran TVET,” katanya. — BERNAMA

AWANI