Home » Jakim meterai MoU pembangunan bidang halal bersama Brunei, Indonesia dan Singapura
Berita Am Berita Dalam Negara

Jakim meterai MoU pembangunan bidang halal bersama Brunei, Indonesia dan Singapura

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengetuai Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS Kali Ke-20 di Singapurav yang berlangsung pada 15 dan 16 Nov 2023. – Foto Facebook Ketua Pengarah Jakim

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Khamis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam pembangunan bidang halal ketika pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) ke-20 yang berlangsung di Singapura.

Memorandum itu antara lain melibatkan perkongsian maklumat dan kepakaran dalam bidang pensijilan halal selain pertukaran hasil penyelidikan serta kajian aspek syariah, sains dan teknikal.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Kementerian Agama Republik Indonesia dan Majlis Ugama Islam Singapura malam tadi. 

Kenyataan itu menyebut produk bersama negara anggota MABIMS iaitu buku terbitan Tafsir lImi (Ayat- Ayat Kauniyyat) yang bertujuan mengajak masyarakat mengagungkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan inspirasi kemajuan umat serta peradaban manusia turut dilancarkan semalam.

“Terbitan ini bertemakan penciptaan alam yang menggambarkan kekuasaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu Wa Ta’ ala daripada perspektif al-Quran melalui pendekatan Tafsir Ilmi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah pertemuan MABIMS seterusnya iaitu pada 2025. — BERNAMA

AWANI