Home » Pan Gon bangga aksi Harimau Malaya, penyokong
Berita Dalam Negara Sukan

Pan Gon bangga aksi Harimau Malaya, penyokong

Pan Gon ketika sidang akhbar selepas perlawanan. – Foto Sinar Harian

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan Gon berbangga dengan aksi yang dipamerkan para pemainnya ketika menundukkan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.

Menurutnya, pemainnya menunjukkan mentaliti tinggi dan tidak berputus asa untuk bangkit menumbangkan lawan di kedudukan ranking yang lebih baik.

“Saya sangat bangga dengan Harimau Malaya, mereka menunjukkan mentaliti yang baik dan terima kasih juga kepada penyokong. 

“Tahniah kepada semua pemain. Sebagai jurulatih ia satu perlawanan sukar, tetapi kami berjaya menang dan dapat menggembirakan penyokong,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui perlawanan itu sebagai satu pengajaran terutama apabila ketinggalan dua gol walaupun terlebih dahulu mendahului seawal minit keenam.

“Kami bermula baik, selesa dan yakin sehingga berjaya menjaringkan gol.

“Saya tidak tahu mungkin pada separuh masa kedua saya mengingatkan pemain untuk ingat siapa diri kita. Saya suka keyakinan (ketika mendahului satu gol) kemudian ketinggalan, tetapi jangan terlalu yakin atau sombong. Kami perlu hormati pasukan di ranking ke 97.

“Ia satu pengajaran kepada kami. Ia satu perlawanan yang menakjubkan walaupun agak sukar,” katanya. – Sinar Harian

AWANI