KEHADIRAN mantan pemimpin negeri pada Persidengan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat pada Isnin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu selain sokongan moral juga sebagai manifestasi sokongan mereka terhadap kepimpinan parti dan kerajaan negeri.
Antara mantan pemimpin yang turut hadir adalah mantan Ketua Menteri terlama Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Di lain pihak pula, Ketua Menteri melihat bahawa mantan pemimpin telah banyak menabur jasa pada rakyat dan negeri.
Sumbangan mereka bukan sahaja dihargai akan tetapi diperlukan sebagai panduan mengurus dan memerintah negeri.
Tiada siapa yang boleh menafikan, bahawa pengalaman mantan pemimpin seperti Musa, yang telah melakar hala tuju kemajuan dan pembangunan Sabah menerusi Halatuju Sabah antara 2003-2018, telah menjadi landasan kukuh kepada misi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan Hajiji pada Mac 2021 beberapa bulan selepas mengambil alih teraju kerajaan negeri pada September 2020.
Penulis yakin, Ketua Menteri yang juga merangkap Presiden Gagasan Rakyat berpegang pada pemahaman, tiada yang baharu, jika tiada yang lama.
Selain itu tiada kekuatan, melainkan kesatuan. Apabila ada kesatuan maka melahirkan suatu kekuatan.
Kerana prinsip demikian, menerusi Ucapan Dasar Sulung sebagai Presiden Gagasan Rakyat menekankan tiga teras perjuangan, iaitu Stabil Politik, Makmur Negeri dan Jaminan Kesejahteraan, yang akronimnya juga SMJ (Sabah Maju Jaya).
Tiga teras perjuangan ini akan menjadi azimat dan pedoman semua peringkat kepimpinan, ahli.penyokong Gagasan Rakyat, untuk bangkit dalam perjuangan membela untung nasib rakyat termasuk lah mendapatkan hak-hak Sabah seperti tertulis dalam Perlembagaan Malaysia.
Tiga teras ini juga dijadikan panduan untuk bangkit memperkukuhkan jentera, memantapkan perpaduan untuk memastikan Gagasan Rakyat terus padu dan jitu.
Keberkesanan tiga teras ini tentunya hanya akan tercapai, jika semua pihak bangkit menentang segala tomahan, hasutan, fitnah, bangkit menegakkan kebenaran dan keadilan, bangkit memperjuangkan hak-hak, bangkit membela agama, tanah tumpah darah dan bangsa tercinta.
Walaupun secara tidak langsung amanat sulung presiden ada hubungkait dengan Persekutuan, khususnya berkait dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan secara langsung berkait hak-hak Sabah sepertimana tertulis dalam Perlembagaan Malaysia, akan tetapi pada masa yang sama juga berpandukan pada perkembangan masa ada hak-hak Sabah tidak tertulis dalam Perlembagaan, khususnya berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), yang masih menghantui rakyat dan negeri.
Pada senario sekarang pun, Sabah tidak mempunyai kuasa mengurus keperluan makanan penduduk negeri antaranya hak atau kuasa mengimport beras putih untuk keperluan penduduk. Selain itu, Sabah masih bergelut dengan agihan peruntukkan pembangunan Persekutuan yang tidak seimbang dengan keperluan negeri.
Pun demikian, Gagasan Rakyat akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam politik kebangsaan untuk mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara Malaysia berteraskan citra kebangsaan. Justeru itu, Gagasan Rakyat sebagai parti tempatan akan sentiasa menjunjung semangat Persekutuan.
Apa yang perlu diambil perhatian dan pertimbangan dengan serius pada masa sekarang adalah, bahawa proses membangunkan sesebuah negeri memerlukan suatu jangka masa yang munasabah, perlu kesinambungan pentadbiran dan kepimpinan dan perlu disertai dengan komitmen serta iltizam bersungguh-sungguh untuk merealisasikan matlamat menjadikan negeri lebih maju.
Justeru itu, untuk memastikan kesinambungan pemerintahan, pentadbiran, tiga teras perjuangan parti, perlu dihayati, dihadam, difahami, sebagai panduan, pedoman, kekuatan semua peringkat kepimpinan apabila turun padang menyantuni rakyat akar umbi, supaya rakyat benar-benar hadam dengan asas perjuangan, dan menjadi pendorong dan penarik pada mereka menyokong parti semasa pilihan raya, khususnya PRN17 akan datang.
Perkara ini amat penting, agar Gagasan Rakyat bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berhadapan lagi dengan titik hitam politik Sabah seperti mana yang berlaku pada awal Januari 2023, yang mana, kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan sebagai kerajaan kerana adanya KUDETA yang digerakan oleh sekumpulan kawan-kawan rakan parti dalam kerajaan negeri.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News
Add Comment