Home » Ahli Gagasan Rakyat dituntut jujur, elak timbul kekeliruan
Berita Tempatan Politik

Ahli Gagasan Rakyat dituntut jujur, elak timbul kekeliruan

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, isu yang berlaku boleh dielakkan sekiranya ahli itu jujur dan telus memandangkan mereka lebih mengetahui status mereka.

BEAUFORT: Ahli-ahli parti perlu bersikap jujur mengenai keanggotaan mereka dalam sesebuah parti politik bagi mengelak daripada berlaku pertindihan keahlian dan juga salah faham diantara parti komponen dalam sebuah gabungan.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, isu yang berlaku boleh dielakkan sekiranya ahli itu jujur dan telus memandangkan mereka lebih mengetahui status mereka.


“Tidak dinafikan situasi itu berlaku namun soalnya bukan satu-satu parti merebut ahli daripada parti lain akan tetapi ahli itu sendiri tidak bersikap jujur dan ikhlas mengenai keberadaannya semata-mata ingin menyertai parti pilihannya.


“Ahli sendiri yang tahu di mana dia menjadi ahli, orang lain tidak tahu pun tentang keahlian dia. Diri sendiri yang lebih mengetahuinya. Oleh itu saya katakan adalah penting kejujuran dan keikhlasan ahli-ahli dalam perjuangan politik, ” katanya.


Mengulas lanjut, Mazlan berkata tuntutan kejujuran dan keikhlasan ahli adalah penting kerana ia tentunya akan memberi impak dan kesan yang baik kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhan terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias, Datuk Isnin Aliasnih (gambar) memberitahu, bagi mengelak daripada berlaku kekeliruan dalam soal itu, parti itu melaksanakan beberapa pendekatan bersesuaian bagi mengenal pasti status pemohon sebelum diterima menyertai Gagasan Rakyat.


Jelas Isnin parti itu mempunyai sistem yang efisen untuk mengenal pasti status pemohon dengan melakukan semakan secara dalam talian (online).


“Bagi situasi yang mana ahli ini pernah menyertai suatu parti politik dahulu dan memohon untuk menyertai Gagasan Rakyat, kita akan pastikan mereka ada surat pengesahan peletakan jawatan bagi memastikan mereka tidak menganggotai lebih dari satu parti, ” katanya.


Katanya lagi, Gagasan Rakyat sama sekali tidak mengamalkan sikap ‘asal ada ahli’ kerana bukan jumlah keahlian yang disasarkan sebaliknya lebih fokus untuk mempunyai ahli-ahli yang jujur dan telus dalam perjuangan.


“Dahulu ada ahli yang mempunyai sampai lima hingga enam parti yang dianggotainya. Persidangan parti ini dia ada hadir, persidangan parti itu dia juga perwakilan. Dan sekarang kita tidak mahu perkara itu berlaku.

“Oleh itu, Gagasan Rakyat mengambil beberapa pendekatan yang wajar bukan sahaja bagi mengelak daripada persepsi kurang baik dalam kalangan parti-parti tetapi juga memastikan tidak ada lagi ahli-ahli yang bertindak sedemikian, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus