Home » Regatta Lepa Semporna mampu jana ekonomi negeri, penduduk – Nizam
Berita Tempatan Politik

Regatta Lepa Semporna mampu jana ekonomi negeri, penduduk – Nizam

KENANGAN: Nizam bersama tetamu kehormat lain bergambar kenangan dalam majlis berkenaan.

SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa yang diadakan setiap tahun di Semporna mampu menjana ekonomi negeri dan penduduk di daerah ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Regatta Lepa ini dilihat berjaya menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

Katanya, selain dapat memperkasakan kebudayaan dan tradisi khususnya masyarakat Bajau di daerah ini, ia juga menjadi sumber pendapatan negeri dan penduduk menerusi kehadiran pelancong yang hadir.

“Kita dapat melihat kehadiran ramai pelancong datang untuk menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan, seni, perhiasan perahu lepa dan sukan tradisi di laut yang dianjurkan sempena acara ini.

“Acara-acara itu adalah produk pelancongan yang sangat berharga dan tidak terdapat di mana-mana tempat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika hadir merasmikan acara akhir sukan laut dan perarakan lepa tradisi sempena Regatta Lepa 2023, di sini kelmarin.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan Sabah menjadi destinasi utama rakyat dari dalam dan luar negara datang untuk bercuti atau melancong.

“Saya percaya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mempunyai agenda untuk menjadikan Sabah sebagai lokasi terkenal dalam sektor pelancongan.

“Kita berharap prestasi pelancongan Sabah akan meningkat dari semasa ke semasa kerana ia antara penyumbang terbesar pendapatan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Nizam turut mencadangkan supaya jawatankuasa penganjur Regatta Lepa Semporna mempertimbangkan supaya dapat melibatkan penyertaan daripada luar daerah ini.

“Saya berharap setiap pertandingan dalam Regatta Lepa ini khususnya acara sukan laut dibuka kepada etnik dan suku kaum lain di Sabah.

“Ia supaya masyarakat dan etnik lain dapat merasai serta meraikan Regatta Lepa, selain mengukuhkan lagi perpaduan yang ada di Sabah,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri yang sentiasa berganding bahu untuk mempertahankan budaya bangsa yang ada di Malaysia.

“Malaysia boleh menjadi contoh terbaik kepada negara luar bahawa masyarakat berbilang kaum, etnik dan agama boleh hidup aman harmoni.

“Justeru, kita harus jadikan kepelbagaian ini satu keindahan bagi rakyat Malaysia dan terhindar daripada pertelingkahan seperti kebanyakan di negara bergolak,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri @ Jamri; ADUN Bugaya, Jamil Hamzah; Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew dan Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau Heni Hamidah.

— Hamzah Sanudin