TAWAU: Penganjur Solidariti Palestin diingatkan supaya tidak membawa unsur ekstremisme dan vandalisme sehingga dapat merosakkan kemudahan awam di daerah ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Solidariti Palestin perlu dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, penganjuran Solidariti Palestin sangat digalakkan oleh kerajaan, namun harus dilaksanakan dengan cara yang betul dan aman.
“Ia bertujuan mendidik rakyat di negeri ini dengan nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
“Justeru, perkara paling penting adalah kesatuan dan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin yang telah ditindas oleh Zionis Israel,” katanya.
Beliau yag juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Program Solidariti Palestin anjuran Ketua Cawangan Enam Serangkai DUN Apas, di sini hari ini.
Menurutnya, penganjuran ini diharap dapat membuka mata masyarakat di seluruh dunia bahawa bumi Tawau khususnya di kawasan Apas juga mengecam tindakan kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin.
“Perbuatan Zionis Israel sudah keterlaluan kerana melanggar nilai kemanusiaan dengan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa terutamanya wanita dan kanak-kanak.
“Saya berharap dengan kesatuan dan doa kita yang hadir hari ini dapat menghentikan tindakan puak Zionis Israel serta membantu Palestin mencapai kemerdekaan,” katanya.
Dalam pada itu Nizam berkata, rakyat di Sabah perlu sentiasa mengekalkan perpaduan dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang sedang dikecapi ketika ini.
“Saya memohon kepada seluruh rakyat dapat mengekalkan perpaduan dan menghormati kepelbagaian kaum serta agama di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong setiap program-program yang dapat menyatukan semua kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, majlis yang disertai oleh lebih 500 peserta ini diisi dengan aktiviti ceramah, bacaan surah yaasin, qunut nazilah dan doa khusus untuk rakyat Palestin.
— Hamzah Sanudin
Add Comment