KOTA KINABALU: Sebuah pusat peranginan mewah bertaraf lima bintang yang menelan belanja dianggarkan RM1 bilion akan dibina di Melingsung, Papar.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, projek itu dilihat dapat meningkatkan industri hospitaliti dan perkhidmatan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Sinyi Group dan rakan kongsinya InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts kerana memilih pembinaan pusat peranginan ini di Sabah.
“Keputusan untuk melabur hartanah di sini menunjukkan strategi yang lebih besar bukan semata-mata membina kemudahan pelancongan, tetapi membuat pelaburan strategik dalam Sabah.
“Apa yang paling penting bagi Sabah ialah pelaburan itu juga menghasilkan kesan pengganda untuk meningkatkan ekonomi,” katanya pada Majlis Pecah Tanah InterContinental Resor, di sini hari ini.
Beliau berkata, pembinaan pusat peranginan itu bukan sahaja dapat mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan, tetapi turut menyumbang pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
“Kami juga mahu melihat kesan pelaburan ini terhadap perusahaan tempatan, disamping melihat impaknya sampai kepada masyarakat tempatan,” katanya.
Hajiji berkata Sinyi Group dan InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts telah memilih lokasi yang betul untuk membina hartanah kerana kawasan ini dijangka berkembang pesat dengan pembinaan pintasan Pengalat-Papar dan menaik taraf Jalan Lok Kawi.
Mengenai bekalan air pula, Hajiji berkata beliau telah melancarkan projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kogopon bernilai RM379 juta bagi meningkatkan kapasiti air kepada 80 juta liter sehari (MLD) bagi daerah Papar.
“Ini akan menangani masalah kekurangan air di selatan Pantai Barat Sabah dan memberi manfaat kepada kira-kira 160,000 pengguna di Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan sekitarnya.
“Projek ini akan meningkatkan liputan bekalan air bagi memenuhi bukan sahaja potensi perniagaan tetapi untuk permintaan industri, khususnya Minyak dan Gas Sabah Terminal (SOGT) dan Presint Agro-Industri Sabah (SAIP) di bawah Koridor Pembangunan Sabah sehingga 2040,” katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri dijangka melancarkan Projek Hidroelektrik yang bernilai berbilion-bilion itu di Ulu Padas Tenom awal bulan depan.
“Projek yang dijangka siap pada tahun 2027 itu akan menghasilkan 180 MW kuasa untuk memenuhi keperluan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan empangan untuk menghasilkan 6,000 MLD air untuk memenuhi permintaan sehingga 80 hingga 100 tahun akan datang.
“Mengenai pelancongan, saya tidak perlu bercakap lebih lanjut mengenai tarikan di Sabah. Cukuplah untuk mengatakan bahawa Sabah sudah lama menjadi destinasi popular di seluruh dunia.
“Ketika ini industri pelancongan sudah kembali normal selepas pandemik COVID-19 dan kedatangan pelancong terus meningkat kepada 1.9 juta sejak Januari hingga September tahun ini.
“Sabah menyasarkan 2.2 juta ketibaan pelawat tahun ini dan saya gembira kerana kini sudah mencapai 86 peratus daripada sasaran,” katanya.
Beliau berkata projek InterContinental Resort merupakan satu lagi perkembangan positif untuk Sabah dan kini kita sudah menyaksikan hotel bertaraf lima bintang sehingga hotel bajet dengan kapasiti 26,822 bilik sudah dibina.
“Saya percaya kerjasama Sinyi Group dan InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts akan membawa sektor perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Komitmen ini sejajar dengan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah mengalu-alukan pelabur untuk mengkaji pelaburan dan peluang perniagaan, bukan sahaja dalam sektor pelancongan tetapi sektor lain juga, seperti pemprosesan hiliran makanan, memanfaatkan konsep Blue Economy yang baru muncul penggunaan sumber marin secara mampan.
“Selain itu, sektor tenaga seperti solar, tenaga angin, hidro dan teknologi penyimpanan, minyak dan gas serta pengeluaran hijau produk berasaskan teknologi dan produk hiliran biojisim,.
“Saya sekali lagi tegaskan bahawa Sabah bersedia meneliti cadangan industri baharu daripada pelabur yang betul,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment